DAR ES SALAAM: Suami kepada Presiden Tanzania, Samia Suluhu Hassan, Hafidh Ameir Hassan meninggal dunia ketika menerima rawatan di sebuah hospital di Zanzibar akibat komplikasi penyakit jantung.
Pengumuman rasmi mengenai pemergian beliau dibuat oleh Naib Presiden Tanzania, Deogratius Ndejembi, yang memaklumkan bahawa Hafidh meninggal dunia pada jam 8 pagi waktu tempatan pada Isnin di Hospital Memorial Emilio Mzena.
Jenazah Allahyarham kemudian dikebumikan pada petang hari yang sama di kediaman keluarganya di Kizimkazi, sebuah perkampungan di Zanzibar yang merupakan wilayah separa autonomi Tanzania.
Hafidh merupakan seorang ahli akademik dalam bidang pertanian dan sepanjang hayatnya dikenali sebagai individu yang lebih gemar menjauhkan diri daripada sorotan umum.
Beliau menjadi First Gentleman pertama Tanzania selepas Samia mengambil alih jawatan Presiden pada tahun 2021, sekali gus mencipta sejarah sebagai presiden wanita pertama negara itu.
Dalam kenyataannya, Ndejembi turut menyampaikan ucapan takziah kepada Presiden Samia serta keluarga dan sahabat handai Allahyarham.
Presiden Kenya, William Ruto berkata, beliau menerima berita pemergian Hafidh dengan penuh dukacita.
"Presiden Samia kehilangan teman hidup yang setia, anak-anaknya kehilangan seorang bapa yang disayangi dan Tanzania kehilangan seorang anak bangsa yang berjasa," katanya menerusi media sosial.
Presiden Zambia, Hakainde Hichilema, turut merakamkan ucapan takziah sambil menyatakan solidariti bersama keluarga pertama Tanzania dan seluruh rakyat negara itu dalam menghadapi saat sukar berkenaan.
Presiden Burundi, Évariste Ndayishimiye, juga menzahirkan penghormatan terakhir kepada Allahyarham serta mendoakan Presiden Samia dan keluarganya dikurniakan ketabahan serta kekuatan.
"Semoga Tuhan mengurniakan tempat persemadian yang kekal tenang buat roh Hafidh Ameir Hassan," katanya.
Sepanjang tempoh beliau bergelar First Gentleman, Hafidh jarang tampil dalam acara awam bersama isterinya dan hanya sesekali dilihat menghadiri majlis rasmi negara.
Beliau mendirikan rumah tangga dengan Samia pada tahun 1978, sebelum Presiden itu menceburi politik peringkat nasional.
Pasangan tersebut dikurniakan empat orang cahaya mata, iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan.
Anak perempuan mereka, Wanu Hafidh Ameir, kini turut aktif dalam politik dan berkhidmat sebagai anggota Dewan Perwakilan Zanzibar dalam Perhimpunan Nasional negara itu. - Agensi