Naib Presiden Sudan Hasabu Mohamed Abdel-Rahman berkeyakinan bahawa Sudan dan Malaysia boleh meningkatkan kerjasama dalam banyak bidang berdasarkan kejayaan pembangunan dan ekonomi Malaysia yang semakin meningkat.

Beliau berkata kekuatan Malaysia dalam sokongan teknikal boleh memberi manfaat kepada negara kedua terbesar di Afrika itu, yang kaya dengan sumber asli tetapi terhad dalam sokongan teknikal.

"Saya pasti Malaysia mempunyai pengalaman dalam beberapa kajian kes dan kisah kejayaannya. Berdasarkan pengalaman itu dan sumber asli Sudan, kita boleh menjalin kerjasama yang baik," katanya semasa menerima kunjungan hormat enam anggota Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Istana Presiden di sini Ahad.

Menurut Naib Presiden itu, Sudan yang mempunyai 30 juta penduduk, dianugerahi sumber alam yang banyak seperti minyak dan gas, serta 11 sungai.

Menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara sahabat, ketika menyambut ketibaan pasukan Bernama diketuai Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita Dalam Negeri) Datuk Mokhtar Hussain, beliau berkata bidang lain yang boleh dipertingkatkan kerjasama adalah pendidikan tinggi.

Malaysia adalah antara negara terawal melabur di Sudan menerusi Petronas pada 1995, selepas hubungan Khartoum-Kuala Lumpur dijalin pada 1991.

Pasukan Bernama itu dalam lawatan seminggu ke negara berkenaan bermula Jumaat lepas, anjuran Agensi Berita Sudan (Suna).

Turut hadir semasa kunjungan hormat itu ialah Timbalan Pengurus Besar Suna Abdallah G.A. Nimir, Ketua Pengarang Mohamed Osman Adam dan Pengarah Perhubungan Awam agensi berita itu, Ahamed Sh.A Musa. - BERNAMA