Skip to main content

Dunia

Sultan Hassanal Bolkiah sambut ulang tahun keputeraan ke-80

Brunei's Sultan Hassanal Bolkiah waves to people as he passes in a procession to mark his golden jubilee of his accession to the throne in Bandar Seri Begawan October 5, 2017. REUTERS/Ahim Rani
Baginda menaiki takhta pada 1967 ketika berusia 21 tahun selepas ayahandanya, Sultan Omar Ali Saifuddien III, turun takhta. Istiadat pertabalan rasmi berlangsung pada tahun berikutnya. - Foto fail/REUTERS
Advertisement

BANDAR SERI BEGAWAN: Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, menyambut ulang tahun keputeraan ke-80 pada Selasa, sekali gus menandakan hampir enam dekad pemerintahan baginda sebagai pemerintah mutlak negara itu.

Baginda menaiki takhta pada 1967 ketika berusia 21 tahun selepas ayahandanya, Sultan Omar Ali Saifuddien III, turun takhta. Istiadat pertabalan rasmi berlangsung pada tahun berikutnya.

Sultan Hassanal kini merupakan pemerintah monarki yang paling lama masih bertakhta di dunia selepas kemangkatan Ratu Elizabeth II pada September 2022.

Di bawah pemerintahan baginda, Brunei memperoleh kemerdekaan penuh daripada Britain pada 1984 selepas menjadi negeri naungan British sejak 1888. 

Pertumbuhan ekonomi negara turut dipacu hasil minyak dan gas, menjadikan Brunei antara negara berpendapatan tinggi di rantau ini.

Brunei mengamalkan sistem monarki mutlak, dengan Sultan Hassanal memegang jawatan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan, Menteri Kewangan dan Ekonomi serta Menteri Luar Negeri.

Hasil petroleum membolehkan kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan kepada rakyat termasuk pendidikan dan perkhidmatan kesihatan percuma, subsidi perumahan serta tiada cukai pendapatan individu.

Baginda turut pernah diiktiraf sebagai individu terkaya di dunia oleh majalah Fortune pada 1988 dengan anggaran kekayaan peribadi sebanyak AS$25 bilion.

Sultan Hassanal menetap di Istana Nurul Iman yang diiktiraf Guinness World Records sebagai istana kediaman terbesar di dunia dengan lebih 1,800 bilik.

Baginda berkahwin dengan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha pada 1965, sebelum berkahwin dengan Hajah Mariam pada 1982 dan Azrinaz Mazhar pada 2005. Baginda mempunyai 12 orang anak dan telah melantik Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah sebagai bakal pewaris takhta.

 

Must Watch Video

Advertisement