INTERNATIONAL
Suruhanjaya dedah makanan diproses punca penyakit kronik kanak-kanak AS

Suruhanjaya yang dinamakan sempena gerakan sosial Make America Healthy Again itu turut mengetengahkan pelbagai kajian yang mengaitkan gangguan kesihatan dalam kalangan manusia dan haiwan. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Satu laporan terbaharu yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Kesihatan Amerika Syarikat, yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kesihatan, Robert F. Kennedy Jr., mendedahkan, makanan diproses, tekanan hidup, bahan kimia pertanian serta penggunaan ubat dan vaksin secara berlebihan mungkin menjadi penyumbang utama kepada peningkatan penyakit kronik dalam kalangan kanak-kanak di negara itu.
Suruhanjaya yang dinamakan sempena gerakan sosial Make America Healthy Again (MAHA) itu menyifatkan, peningkatan kadar obesiti, diabetes, kanser, masalah kesihatan mental, alahan serta gangguan perkembangan seperti autisme dalam kalangan kanak-kanak sebagai satu krisis nasional yang perlu ditangani segera.
Dalam sidang media sempena pelancaran laporan tersebut, Kennedy berkata, ahli-ahli suruhanjaya sepakat untuk memfokuskan isu krisis makanan ultra-diproses, yang menurutnya menjadi punca utama kepada merosotnya tahap kesihatan generasi muda di Amerika Syarikat.
Laporan itu turut mengetengahkan pelbagai kajian yang mengaitkan gangguan kesihatan dalam kalangan manusia dan haiwan dengan penggunaan bahan kimia pertanian seperti glyphosate dan atrazine.Bagaimanapun, laporan tersebut tidak mencadangkan sebarang perubahan peraturan atau sekatan terhadap penggunaan bahan kimia berkenaan, sebaliknya menggesa penyelidikan lebih lanjut dijalankan.
Antara cadangan penting lain dalam laporan berkenaan termasuklah usaha memperkukuh pemantauan keselamatan ubat-ubatan serta kajian klinikal berskala besar bagi membandingkan kesan pemakanan berasaskan makanan segar berbanding makanan diproses terhadap kesihatan kanak-kanak.
Pelancaran laporan tersebut disambut baik oleh kumpulan aktivis dan penyokong MAHA yang hadir, yang menganggapnya sebagai pengiktirafan terhadap usaha mereka membela kesihatan awam dan masa depan anak-anak Amerika.
Walaupun definisi makanan ultra-diproses masih diperdebatkan dalam kalangan pakar, laporan itu menggariskannya sebagai produk yang dihasilkan secara industri dan telah melalui pelbagai peringkat pemprosesan sebelum sampai ke pengguna.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami