Skip to main content

Malaysia

Semua ladang babi Kampung Selamat hantar sisa ternakan ke loji biogas sejak 4 Mei

Menurut  H'ng Mooi Lye, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP) turut melaksanakan aktiviti penuangan larutan Useful Microbes Activated Solution (UMAS) secara mingguan ke dalam saliran awam di Kampung Selamat. - Gambar Sinar Harian
Menurut H'ng Mooi Lye, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP) turut melaksanakan aktiviti penuangan larutan Useful Microbes Activated Solution (UMAS) secara mingguan ke dalam saliran awam di Kampung Selamat. - Gambar Sinar Harian

Advertisement

GEORGE TOWN: Semua pemilik ladang babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor telah mula menghantar sisa ternakan ke loji biogas di Ampang Jajar sejak 4 Mei lepas sebagai langkah mengawal pencemaran dan masalah bau di Sungai Kereh.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, H'ng Mooi Lye berkata, langkah itu bertujuan mengawal pelepasan sisa ternakan ke persekitaran, khususnya sistem perparitan yang mengalir ke Sungai Kereh.

Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP) turut melaksanakan aktiviti penuangan larutan Useful Microbes Activated Solution (UMAS) secara mingguan ke dalam saliran awam di Kampung Selamat.

"Langkah mitigasi ini dilaksanakan bagi membantu mengawal pencemaran dan mengurangkan masalah bau di kawasan berkenaan.

"JPVPP turut menjalankan pemeriksaan terhadap ladang babi serta tindakan penguatkuasaan bagi memastikan penternak mematuhi keperluan pengurusan sisa ternakan yang ditetapkan," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

H'ng menjawab soalan Bukhori Ghazali (PN-Pinang Tunggal) mengenai langkah yang diambil kerajaan negeri bagi mengatasi masalah pencemaran bau di Sungai Kereh.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan Peraturan 25(2), Peraturan-Peraturan Pelesenan Penternakan Babi (Pulau Pinang) 2020, pemegang lesen perlu memastikan kepekatan gas ammonia di dalam kandang tertutup berada di bawah 20 bahagian per juta (ppm), manakala gas hidrogen sulfida di bawah lima ppm.

“Bacaan menggunakan alat pengukuran gas yang direkodkan di dalam kandang tertutup didapati masih dalam lingkungan had yang dibenarkan.

“Bagaimanapun, bacaan itu hanya merujuk kepada kepekatan gas di dalam kandang dan tidak mewakili bacaan indeks kualiti air atau tahap bau di Sungai Kereh secara langsung,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kerajaan negeri turut merancang melakukan kerja pembersihan di Parit Cina dan Sungai Kereh yang dijangka bermula suku pertama tahun depan.

H’ng berkata, kerja pembersihan itu bertujuan mengeluarkan sisa mendapan yang terkumpul bagi membantu melancarkan aliran air serta mengurangkan masalah pencemaran di kawasan berkenaan.

-- BERNAMA

 

TAG : DUN Pulau Pinang, Sungai Kereh, H'ng Mooi Lye. 

Must Watch Video

Advertisement