STRASBOURG (PERANCIS): Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen merancang untuk menangguhkan pelaksanaan peraturan iklim baharu yang bertujuan mengehadkan pelepasan metana dalam usaha menurunkan harga tenaga, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Suruhanjaya itu berhasrat memberikan tempoh tambahan setahun kepada pengekspot bahan api fosil ke Kesatuan Eropah (EU) sebelum peraturan baharu itu dilaksanakan, kata von der Leyen pada Selasa ketika berucap pada Perhimpunan Parlimen Eropah di Bandar Strasbourg, Perancis.
“Ini dapat menjimatkan kos kos tambahan pada saat krisis ini,” katanya.
Peraturan EU yang bertujuan mengurangkan pelepasan metana daripada sektor tenaga telah mula dikuatkuasakan sejak 2024.
Bermula awal 2027, syarikat-syarikat terbabit perlu membuktikan, bagi kontrak bekalan tertentu, bahawa pengeluar di negara asal memantau dan mendokumentasikan pelepasan metana mereka sekurang-kurangnya setara dengan piawaian yang ditetapkan ke atas syarikat-syarikat EU.
Minggu lepas, Pesuruhjaya Tenaga EU Dan Jorgensen berkata beliau telah mengarahkan pegawainya untuk mengkaji pilihan bagi menangguhkan tarikh kuat kuasa peraturan berkenaan.
Sebaik sahaja Suruhanjaya membentangkan cadangan rasmi, negara-negara anggota EU dan Parlimen Eropah perlu menyokong penangguhan itu.
EU berdepan kesukaran berikutan lonjakan harga tenaga sejak bermulanya konflik di Iran pada Februari.
Von der Leyen turut menggesa perbincangan diadakan mengenai kilang penapis minyak Eropah, dengan tujuan merendahkan kos serta memastikan EU mempunyai “bekalan yang mencukupi juga untuk pertahanan.”
Presiden Suruhanjaya itu juga menggesa negara-negara EU menggunakan sepenuhnya undang-undang dan keutamaan dasar sedia ada untuk menangani lonjakan harga, termasuk peraturan bantuan negeri yang lebih fleksibel serta perluasan tenaga boleh baharu.
-- BERNAMA-dpa