Skip to main content

Dunia

Tiga anggota polis Perancis dipenjara kerana belasah penerbit muzik

Zecler berkata rakaman CCTV menjadi bukti penting yang membuktikan beliau adalah mangsa, dan bukannya penjenayah seperti yang digambarkan dalam laporan polis. - Foto REUTERS
Zecler berkata rakaman CCTV menjadi bukti penting yang membuktikan beliau adalah mangsa, dan bukannya penjenayah seperti yang digambarkan dalam laporan polis. - Foto REUTERS
Advertisement

PARIS: Tiga anggota polis Perancis dijatuhi hukuman penjara selepas didapati bersalah memukul penerbit muzik, Michel Zecler, dalam satu insiden berprofil tinggi yang mencetuskan perdebatan mengenai isu perkauman dan keganasan polis di negara itu.

Menurut laporan BBC, mahkamah turut memutuskan bahawa unsur perkauman menjadi faktor yang memburukkan kesalahan tersebut, sekali gus membawa kepada hukuman yang lebih berat terhadap ketiga-tiga tertuduh.

Anggota polis berkenaan juga disabitkan kesalahan memalsukan laporan rasmi dengan mendakwa Zecler, 47, bertindak ganas dan melawan ketika cuba ditahan.

Advertisement

Namun, dakwaan itu terbongkar selepas rakaman CCTV di studio milik Zecler menunjukkan beliau dipukul bertubi-tubi dengan tumbukan, tendangan dan belantan polis walaupun tidak menunjukkan tentangan yang ketara.

Aurelien Lapersonne, Philippe Tondeux dan Pierre Plantier masing-masing dijatuhi hukuman penjara lima tahun, dengan sebahagian tempoh hukuman digantung. Mahkamah turut mengarahkan mereka dilarang daripada berkhidmat dalam pasukan polis pada masa hadapan.

Advertisement

Kes itu berlaku ketika sekatan COVID-19 pada 2020 apabila Zecler ditegur kerana tidak memakai pelitup muka ketika menghampiri studionya di Paris.

Polis kemudian mendakwa mereka mengesyaki Zecler terlibat dengan dadah, namun tiada bukti ditemui.

Rakaman CCTV menunjukkan anggota polis memasuki premis tanpa waran sebelum cuba memaksa mangsa keluar, yang akhirnya membawa kepada insiden serangan berkenaan.

Dalam keterangannya di mahkamah, Zecler berkata rakaman CCTV menjadi bukti penting yang membuktikan beliau adalah mangsa, dan bukannya penjenayah seperti yang digambarkan dalam laporan polis.

BBC melaporkan ketiga-tiga anggota polis itu mengemukakan permohonan maaf di mahkamah, namun menafikan serangan tersebut bermotifkan perkauman.

Bagaimanapun, panel lima hakim memilih untuk menerima keterangan Zecler berhubung penggunaan kata-kata berbaur perkauman ketika insiden itu berlaku.

Kes berkenaan menjadi simbol kepada kritikan terhadap amalan kepolisan di Perancis, khususnya dakwaan diskriminasi kaum dan penggunaan kekerasan melampau oleh anggota penguat kuasa.

 

 

Must Watch Video

Advertisement