DUNIA
Suspek kes pembunuhan Charlie Kirk didakwa akui perbuatan dalam nota tersembunyi

Robinson kini berdepan tujuh pertuduhan termasuk pembunuhan terancang. - Foto fail/REUTERS
UTAH: Pendakwa raya di Utah mendakwa bahawa Tyler Robinson, suspek utama dalam kes pembunuhan aktivis konservatif Charlie Kirk, telah meninggalkan nota tersembunyi kepada rakan serumahnya yang mengandungi pengakuan dan motif serangan tersebut.
Ringkasan AI
- Tyler Robinson, 22, meninggalkan nota tersembunyi kepada rakan serumahnya yang mengandungi pengakuan dan motif serangan terhadap aktivis konservatif Charlie Kirk.
- Robinson dipercayai merancang pembunuhan selama seminggu, menggunakan senjata Mauser Model 98 dan meninggalkan peluru dengan mesej anti-fasisme.
- Robinson didakwa atas tujuh pertuduhan termasuk pembunuhan terancang, dan pendakwa raya menyatakan hasrat untuk menuntut hukuman mati; pendengaran mahkamah dijadualkan minggu ini.
Charlie Kirk, pengasas bersama organisasi konservatif Turning Point USA dan sekutu rapat Presiden Donald Trump, ditembak mati dari atas bumbung ketika menghadiri acara di Utah Valley University minggu lalu.
Senjata yang digunakan, sejenis Mauser Model 98, ditemui di kawasan berhutan berhampiran lokasi kejadian.
Pendakwa raya menyatakan bahawa Robinson telah merancang serangan itu selama lebih seminggu dan turut meninggalkan peluru yang diukir dengan mesej anti-fasisme, dipercayai merujuk kepada budaya meme dan permainan video.
Dalam mesej teks kepada rakan serumah, Robinson didakwa berkata: “Saya sudah muak dengan kebencian terhadapnya. Ada kebencian yang tak boleh dirunding.”
Robinson kini berdepan tujuh pertuduhan termasuk pembunuhan terancang, penggunaan senjata api secara jenayah, menghalang keadilan dan jenayah ketika kanak-kanak berada di lokasi.
Pendakwa raya juga menyatakan hasrat untuk menuntut hukuman mati dalam kes ini.
Setakat ini, pihak pembelaan belum mengeluarkan kenyataan rasmi dan Robinson dijadualkan hadir ke mahkamah buat kali pertama minggu ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami