Skip to main content

Dunia

Suspek serangan Bondi, Naveed Akram, muncul di mahkamah buat pertama kali

71765747768_BondiBeach.jpg
Akram didakwa melakukan serangan pengganas paling dahsyat dalam sejarah Australia moden pada 14 Disember lalu. - Foto fail/AP

SYDNEY: Suspek serangan Bondi, Naveed Akram, 24, buat pertama kali muncul di mahkamah melalui pautan video dari penjara untuk menghadapi 59 pertuduhan, termasuk pembunuhan dan kesalahan berkaitan keganasan.

Akram didakwa melakukan serangan pengganas paling dahsyat dalam sejarah Australia moden pada 14 Disember lalu, apabila 15 orang terbunuh dan 40 lagi cedera dalam serangan ketika sambutan Hannukah di Pantai Bondi.

Advertisement

Dalam serangan tersebut, Akram dan bapanya, Sajid Akram, 50, didakwa melempar tiga bom paip berisi bebola keluli dan satu bom 'tennis ball' sebelum melepaskan tembakan ke arah orang ramai.

Namun, menurut analisis awal polis, tiada bom paip yang meletup walaupun berada dalam keadaan berfungsi.

Bapanya ditembak mati oleh polis semasa insiden berkenaan.

Ketika prosiding di Mahkamah Tempatan Downing Centre, Akram memakai baju penjara berwarna hijau, dengan rambut dicukur dan masih mengekalkan janggut penuh seperti ketika serangan berlaku.

Prosiding berlangsung ringkas, kecuali apabila Timbalan Ketua Majistret, Sharon Freund, bertanya kepadanya:  
“Adakah awak dengar apa yang saya katakan tadi?” - selepas mengesahkan lanjutan perintah larangan penerbitan bagi melindungi identiti mangsa.

Perintah itu membolehkan mangsa dan saksi memilih sama ada ingin mendedahkan identiti mereka, seperti yang telah dilakukan oleh beberapa yang terselamat termasuk Arsen Ostrovsky dan Ahmed Al Ahmed, seorang pekedai yang bertindak berani cuba melucut senjata bapa Akram.

Polis mendakwa 55 orang telah ditembak, termasuk 15 yang maut, antaranya seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, beberapa mangsa Holocaust, dan seorang bekas pegawai polis.

Dua bendera Daesh buatan tangan turut ditemui dalam kenderaan suspek, bersama sebuah bom kotak yang belum digunakan.

Akram tidak ditawarkan jaminan dan dijadualkan kembali ke mahkamah pada 9 April 2026.

 

Must Watch Video