KUCHING: Polis Daerah Lundu sedang giat mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan melibatkan seorang remaja berusia 18 tahun yang berlaku pada 12 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Lundu, Superintendan Sudirman Kram, berkata individu yang diburu ialah Juli Mangkok, 33, yang merupakan rakan sekerja dan serumah dengan mangsa ketika kejadian.
Advertisement
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan di balai polis berdekatan.
"Usaha mengesan masih giat dijalankan. Tetapi kita belum berjaya menangkap suspek.
"Mohon orang ramai yang ada maklumat menyalurkannya kepada pihak polis di balai berdekatan,” katanya kepada Astro AWANI.
Kronologi Ringkas
- 7.12 pagi, Jumaat lalu: Polis menerima makluman daripada pegawai perubatan Hospital Umum Sarawak (HUS) mengenai seorang lelaki yang dihantar ke Unit Kecemasan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
- Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia. Pemeriksaan awal mendapati bengkak pada mata dan pipi, serta darah kering pada hidung.
- Siasatan awal menunjukkan mangsa bersama beberapa rakan sekerja menghadiri perjumpaan sosial dan mengambil minuman keras sebelum tercetus pertengkaran antara suspek dan mangsa yang berakhir dengan pergelutan fizikal.
- Mangsa dilaporkan pengsan, sebelum suspek bersama beberapa individu lain membawa mangsa ke HUS menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk mendapatkan rawatan.
Polis telah menahan tiga rakan mangsa bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh).
Sementara itu, usaha mengesan Juli Mangkok masih diteruskan.
Pihak polis memohon bantuan orang ramai untuk menyalurkan maklumat yang boleh membantu penangkapan suspek.
Berdasarkan semakan, suspek mempunyai sembilan rekod jenayah lampau merangkumi kes curi, pecah rumah, memiliki barang curi, penyalahgunaan dadah dan menyamar sebagai polis.