GENEVA: Switzerland tidak lagi mengeluarkan dan mengesahkan sijil vaksinasi COVID-19 mulai 1 Sept di bawah sistem yang dilaksanakan Kesatuan Eropah (EU) pada Jun 2021, menurut Majlis Persekutuan Switzerland, lapor Sputnik.

"Sistem mengeluarkan dan mengesahkan sijil COVID-19 akan dihentikan pada akhir Ogos 2023. Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri persekutuan memaklumkan Majlis Persekutuan pada mesyuaratnya pada 16 Ogos 2023, bahawa ordinan yang sama tidak akan dilanjutkan," menurut majlis itu dalam satu kenyataan di laman sesawangnya.

Sijil vaksinasi COVID-19, yang dibangunkan bersama EU, telah dilancarkan di Switzerland pada Jun 2021. Ia bertujuan untuk menyediakan bukti vaksinasi yang "boleh dipercayai dan diiktiraf di peringkat antarabangsa", kata kenyataan itu.

"Bagaimanapun, hanya beberapa negara yang masih memerlukan bukti vaksinasi, pemulihan atau ujian semasa kemasukan. Dengan itu, EU memutuskan pada 27 Jun 2023, untuk tidak melanjutkan lagi rangka kerja undang-undang DCC EU," menurut majlis itu.

Pihak berkuasa menjelaskan bahawa keadaan epidemiologi yang stabil juga telah menyumbang kepada keputusan untuk memansuhkan sijil vaksinasi bagi memudahkan perjalanan.

-- BERNAMA