Skip to main content

Dunia

Syria kecam tindakan Colombia iktiraf kedaulatan Israel ke atas Bukit Golan yang diduduki

The border between Syria and the Israeli-controlled Golan Heights town of Majdal Shams is seen Tuesday, July 21, 2026. (AP Photo/Ariel Schalit)
Sempadan antara Syria dan bandar Majdal Shams di Bukit Golan yang dikuasai Israel, 21 Julai 2026. - Gambar fail/AP
Advertisement

ISTANBUL: Syria pada Selasa mengecam sekeras-kerasnya tindakan Colombia mengiktiraf apa yang disifatkannya sebagai "kedaulatan Israel" ke atas Bukit Golan yang diduduki, sambil menyifatkan langkah itu sebagai melanggar undang-undang antarabangsa dan resolusi berkaitan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Syria mengecam pengisytiharan Colombia pada 10 Ogos yang mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas Bukit Golan yang diduduki berdasarkan alasan keselamatan yang disifatkannya tidak selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Kementerian itu menegaskan bahawa Bukit Golan merupakan sebahagian yang tidak boleh dipisahkan daripada wilayah Syria dan menyatakan pendirian Colombia itu melanggar Piagam PBB, prinsip larangan memperoleh wilayah melalui kekerasan serta Resolusi 497 Majlis Keselamatan PBB yang diluluskan pada 1981.

Kementerian itu turut merujuk pendirian Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres yang menegaskan bahawa Bukit Golan ialah wilayah Syria dan PBB mengiktiraf kawasan itu sebagai sebahagian daripada Syria.

Menurut kementerian itu, sokongan antarabangsa terhadap pendirian Syria berhubung Bukit Golan yang diduduki semakin meningkat, dengan sokongan terhadap resolusi tahunan Perhimpunan Agung PBB bertajuk "The Syrian Golan" meningkat daripada 97 negara pada 2024 kepada 123 negara pada 2025.

Kenyataan itu turut mengecam serangan dan pencerobohan berterusan Israel ke atas wilayah Syria serta menggesa negara-negara dan organisasi antarabangsa supaya mematuhi undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB.

Menurut kementerian itu, Syria akan terus menggunakan saluran diplomatik dan perundangan untuk mempertahankan kedaulatan, keutuhan wilayah serta haknya, selain berusaha mendapatkan semula wilayah yang diduduki.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement