INTERNATIONAL
Syria umum anggota Kabinet baharu

Presiden Ahmad al-Sharaa berucap pada majlis pengumuman barisan Kabinet baharu Syria pada Sabtu. - Gambar Reuters
ISTANBUL: Syria secara rasmi mengumumkan barisan Kabinet baharu pada Sabtu, dengan Presiden Ahmad al-Sharaa menegaskan komitmen kerajaan untuk membangunkan semula institusi negara berlandaskan kebertanggungjawapan dan ketelusan, lapor Anadolu Ajansi.
"Kita sedang menyaksikan permulaan fasa baharu dalam perjalanan negara kita, dan pembentukan kerajaan hari ini merupakan satu pengisytiharan terhadap tekad bersama kita untuk membina sebuah negara baharu.
"Kerajaan ini akan membuka lembaran baharu dalam bidang pendidikan dan kesihatan, serta tidak akan membenarkan rasuah menyusup masuk ke dalam institusi negara.
"Kami akan membina semula institusi negara berdasarkan prinsip kebertanggungjawapan dan ketelusan," kata Sharaa dalam satu majlis di Istana Presiden di Damsyik.Kabinet baharu itu terdiri daripada 22 menteri, termasuk seorang wanita.
Antara yang dilantik ialah Murhaf Abu Qasra sebagai Menteri Pertahanan, Anas Khattab sebagai Menteri Dalam Negeri, Asaad al-Shaibani sebagai Menteri Luar Negeri dan Mazhar Al-Wais sebagai Menteri Kehakiman.
Selain itu, Marwan al-Halabi dilantik sebagai Menteri Pengajian Tinggi dan Hind Kabawat sebagai Menteri Hal Ehwal Sosial dan Buruh.
Barisan menteri lain termasuk Mohammad Anjarrani sebagai Menteri Pentadbiran Tempatan, Musab Nazzal al-Ali sebagai Menteri Kesihatan, dan Nidal Al-Shaar sebagai Menteri Ekonomi.
Mohammad Yusr Barnieh pula dilantik sebagai Menteri Kewangan, manakala Mohammad al-Bashir akan mengetuai Kementerian Tenaga.
Para menteri menyampaikan ucapan mereka sebelum mengangkat sumpah di hadapan Presiden Sharaa.
Sebelum ini, kerajaan sementara yang diketuai Perdana Menteri, Mohammed al-Bashir telah dilantik untuk tempoh tiga bulan selepas rejim Bashar al-Assad digulingkan oleh pasukan anti-rejim yang dipimpin oleh Sharaa pada Disember lalu.
Sharaa kemudiannya diumumkan sebagai Presiden bagi tempoh peralihan pada akhir Januari.
Assad, yang memerintah Syria selama hampir 25 tahun, melarikan diri ke Rusia selepas kumpulan anti-rejim menguasai Damsyik pada 8 Dis, sekali gus menamatkan pemerintahan Parti Baath yang telah berkuasa sejak 1963.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami