DUNIA
Taikun hartanah Malaysia mengaku bersalah kes berkaitan bekas menteri Singapura

Pengakuan bersalah Ong itu dibuat selepas beberapa persidangan praperbicaraan dan penangguhan sejak Ong pertama kali didakwa pada 4 Okt 2024. - Gambar fail/Reuters
SINGAPURA: Taikun hartanah Malaysia, Ong Beng Seng pada Isnin mengaku bersalah atas pertuduhan bersubahat menghalang proses keadilan, dalam kes yang dikaitkan dengan bekas Menteri Pengangkutan Singapura S. Iswaran, lapor media tempatan.
Ringkasan AI
- Ong Beng Seng mengaku bersalah: Taikun hartanah Malaysia mengaku bersalah atas pertuduhan bersubahat menghalang keadilan dalam kes melibatkan bekas Menteri Pengangkutan Singapura, S. Iswaran.
- Perjalanan ke Doha jadi isu utama: Iswaran menaiki jet peribadi Ong dan penginapan serta tiket pulang ditanggung oleh Singapore GP atas arahan Ong, tanpa bayaran awal daripada Iswaran.
- Rayuan hukuman atas faktor kesihatan: Ong menghidap multiple myeloma dan berisiko tinggi jika dipenjara; pendakwaan tidak membantah hukuman denda maksimum sebagai ganti hukuman penjara.
Pengakuan bersalah itu dibuat selepas beberapa persidangan praperbicaraan dan penangguhan sejak Ong pertama kali didakwa pada 4 Okt 2024.
Menurut pihak pendakwaan, Iswaran tidak membayar kos penerbangan ke Doha mahupun tiket penerbangan pulang ke Singapura, termasuk penginapan hotel.
Iswaran menaiki jet peribadi milik Ong ke Doha, manakala penginapannya dan tiket penerbangan pulang kelas perniagaan dibayar oleh Singapore GP Pte Ltd (SGP) atas arahan Ong.
Pada Oktober 2024, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan ke atas Iswaran selepas beliau mengaku bersalah atas empat pertuduhan menerima barangan berharga sebagai penjawat awam serta satu pertuduhan menghalang keadilan.
Pertuduhan menghalang keadilan itu berkaitan bayaran balik S$5,700 yang dibuat oleh Iswaran kepada SGP bagi kos penerbangan kelas perniagaan dari Doha ke Singapura pada 2022.
Pihak pendakwaan menyatakan bahawa Ong sedar tindakan Iswaran membayar semula perbelanjaan itu berkemungkinan besar bertujuan menghalang perjalanan proses keadilan, lapor ST.
Hakim Daerah Utama, Lee Lit Cheng menetapkan tarikh hukuman pada 15 Ogos. Jaminan Ong sebanyak S$800,000 turut dilanjutkan.
Dalam rayuan meringankan hukuman, pasukan pembelaan Ong memaklumkan bahawa dia menghidap "multiple myeloma", dan berisiko membahayakan nyawanya di penjara jika dia mendapat jangkitan.
Pendakwaan bersetuju bahawa kes Ong wajar diberi pertimbangan belas ihsan kehakiman dan tidak membantah jika hukuman denda maksimum dikenakan sebagai ganti hukuman penjara, menurut ST.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami