KUALA LUMPUR: Jumlah permintaan penumpang udara yang diukur menerusi hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK), susut 3.4 peratus bagi tahun ke tahun pada April 2026 akibat konflik Asia Barat, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Namun, kecuali pasaran Asia Barat, permintaan meningkat 1.2 peratus bagi tempoh berkenaan.
“Selain itu, jumlah kapasiti yang diukur menerusi kilometer tempat duduk tersedia (ASK) susut 2.9 peratus tahun ke tahun manakala faktor muatan mencatat 83.1 peratus atau turun 0.4 mata peratusan berbanding April 2025,” menurut IATA dalam kenyataan lewat Khamis.
IATA memaklumkan, permintaan antarabangsa susut 5.3 peratus tahun ke tahun pada April 2026, namun kecuali Asia Barat, permintaan meningkat 1.9 peratus tahun ke tahun.
“Kapasiti susut 5.1 peratus tahun ke tahun manakala faktor muatan pada 83.9 peratus iaitu turun 0.2 mata peratusan berbanding April 2025,” menurutnya.
Bagi permintaan domestik, IATA memaklumkan prestasi itu mendatar atau tidak berubah berbanding April 2025 dengan kapasiti meningkat 0.8 peratus tahun ke tahun dan faktor muatan mencatat 81.9 peratus atau susut 0.7 mata peratusan daripada tempoh sama pada 2025.
Ketua Pengarah IATA Willie Walsh berkata kemerosotan permintaan sebanyak 46.6 peratus bagi syarikat penerbangan Asia Barat susulan perang di rantau itu adalah serius sehinggakan turut mengheret turun jumlah permintaan sebanyak 3.4 peratus bagi April 2026.
“Situasi bagi pengangkutan udara kekal amat tidak menentu dengan kos bahan api jet naik lebih dua kali ganda pada April yang mendorong lonjakan tambang,” katanya.
Walsh berkata data jadual penerbangan akan datang menunjukkan penurunan penawaran bagi tempoh beberapa bulan akan datang yang menunjukkan langkah syarikat penerbangan sedang mengimbangi peningkatan kos ketara dan kelemahan permintaan.
-- BERNAMA