Skip to main content

Dunia

Taiwan rekod 14 kematian COVID-19 dalam tempoh seminggu apabila jangkitan meningkat

41735479498_taiwanorangawam.jpg
Sejak Oktober tahun lepas, Taiwan merekodkan 337 kes domestik COVID-19 yang melibatkan komplikasi teruk, termasuk 42 kematian. - Gambar hiasan/Astro AWANI
Advertisement

ISLAMABAD: Taiwan merekodkan 14 kematian akibat COVID-19 dan 72 kes teruk dalam tempoh tujuh hari lepas, jumlah tertinggi mingguan sepanjang gelombang berterusan ketika ini, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik media tempatan.

Timbalan Pengarah Pusat Risikan Wabak Pusat Kawalan Penyakit (CDC) Taiwan Lee Chia-lin berkata sejak Oktober tahun lepas, Taiwan merekodkan 337 kes domestik COVID-19 yang melibatkan komplikasi teruk, termasuk 42 kematian, menurut laman sesawang Focus Taiwan.

Lawatan pesakit luar dan bilik kecemasan berkaitan COVID-19 turut meningkat, mencecah 24,645 antara 2 dan 8 Ogos, naik 27.6 peratus berbanding minggu sebelumnya.

CDC menurunkan unjuran kemuncak lawatan perubatan mingguan kepada 27,000 daripada anggaran terdahulu iaitu 51,000, sambil menyatakan bahawa penularan semasa dijangka mencapai kemuncak antara pertengahan dan lewat Ogos.

Golongan warga tua kekal paling rentan. Daripada kes teruk yang direkodkan sejak Oktober, 73.9 peratus melibatkan individu berusia 65 tahun ke atas, manakala 84 peratus mempunyai penyakit kronik dan hampir 90 peratus belum menerima vaksin COVID-19 musim terkini.

CDC memaklumkan kira-kira 140,000 dos vaksin masih berada dalam simpanan, dengan 37,000 dos dijangka luput pada 9 Sept dan dijadualkan untuk diagihkan kepada kerajaan tempatan.

Di peringkat global, kadar positif COVID-19 meningkat di sebahagian Eropah dan Afrika, manakala kes jangkitan mencatatkan peningkatan di China, Thailand, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Jepun, menurut laporan itu.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement