Skip to main content

Dunia

Tamparan buat Trump, mahkamah arah henti pembinaan dewan majlis baharu White House bernilai RM1.6 bilion

FILE PHOTO: The White House and the ongoing Ballroom construction as seen from a window at the Washington Monument, in Washington, D.C., U.S., July 15, 2026. REUTERS/Al Drago/File Photo
Kerja-kerja pembinaan dewan majlis bernilai AS$400 juta (kira-kira RM1.6 bilion) di tapak bekas Sayap Timur White House sedang berjalan. - Gambar Reuters
Advertisement

WASHINGTON: Mahkamah Rayuan Persekutuan Amerika Syarikat (AS) mengarahkan pentadbiran Presiden Donald Trump menghentikan pembinaan sebuah dewan majlis bernilai AS$400 juta (kira-kira RM1.6 bilion) di tapak bekas Sayap Timur White House yang telah dirobohkan, sekali gus menjadi tamparan besar terhadap usaha beliau merombak kompleks ikonik itu.

Dalam keputusan 2-1 yang dikeluarkan Mahkamah Rayuan Daerah Columbia pada Jumaat, panel hakim menegaskan, setiap Presiden hanyalah "penghuni sementara" White House dan tidak mempunyai kuasa untuk melakukan perubahan besar terhadap bangunan bersejarah itu tanpa mendapat kelulusan Kongres.

Keputusan itu mengekalkan injunksi awal yang dimohon National Trust for Historic Preservation, sebuah pertubuhan pemuliharaan warisan yang memfailkan saman tahun lalu selepas pentadbiran Trump merobohkan Sayap Timur dan memulakan pembinaan dewan majlis seluas 90,000 kaki persegi tanpa mendapatkan kebenaran Kongres.

Menurut majoriti panel hakim, keputusan sama ada sebuah dewan majlis berskala besar perlu dibina atau tidak merupakan perkara yang perlu ditentukan oleh Kongres dan bukannya tindakan unilateral cabang eksekutif.

Mahkamah bagaimanapun menangguhkan pelaksanaan keputusan itu selama 14 hari bagi memberi ruang kepada pentadbiran Trump mengemukakan rayuan ke Mahkamah Agung AS.

Trump, yang kebelakangan ini mendakwa projek berkenaan penting dari sudut keselamatan negara, menyifatkan bangunan itu sebagai "pusat ketenteraan" dan mengesahkan pentadbirannya akan membuat rayuan ke Mahkamah Agung.

Dalam hantaran di platform Truth Social, beliau menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai "mengerikan" dan bermotifkan politik, selain mendakwa ia mendedahkan dirinya, pegawai White House dan para pelawat kepada ancaman serangan.

Menurut Trump, pelan pembinaan tersebut merangkumi kemudahan perlindungan bom, pusat perubatan, sistem perlindungan daripada dron dan peluru berpandu serta ciri keselamatan lain yang saling berkait sebagai satu kompleks keselamatan bersepadu.

Sementara itu, Presiden National Trust for Historic Preservation, Brent Leggs, menyambut baik keputusan berkenaan dan menyifatkannya sebagai kemenangan penting buat rakyat Amerika dalam mempertahankan lokasi bersejarah yang menjadi kebanggaan negara, termasuk White House.

Kes itu tercetus selepas Hakim Daerah AS, Richard Leon, yang dilantik bekas Presiden George W. Bush, dua kali menghalang kerja pembinaan di atas tanah di tapak berkenaan, walaupun membenarkan kerja bawah tanah diteruskan.

Projek dewan majlis itu merupakan antara beberapa inisiatif Trump untuk mengubah landskap bangunan kerajaan dan monumen nasional di Washington.

Dalam kes berasingan baru-baru ini, mahkamah turut mengarahkan nama Trump yang ditambah pada bahagian luar Pusat Seni Persembahan Kennedy ditanggalkan selepas didapati melanggar undang-undang.

Semasa hujahan rayuan pada Jun lalu, peguam Jabatan Kehakiman, Yaakov Roth, berhujah bahawa mahkamah tidak mempunyai peranan untuk menilai projek yang dibiayai secara persendirian itu. 

Beliau berkata kebimbangan berkaitan seni bina yang dibangkitkan pihak plaintif tidak seharusnya mengatasi pertimbangan keselamatan negara.

Namun, majoriti hakim menegaskan, alasan keselamatan negara tidak boleh dijadikan alasan untuk mengenepikan undang-undang.

Mereka turut menjelaskan, keputusan tersebut bukanlah larangan kekal terhadap pembinaan dewan majlis itu, sebaliknya hanya menghentikan kerja pembinaan di atas permukaan tanah sehingga proses perundangan selesai dan kelulusan Kongres diperoleh.

Hakim Neomi Rao, yang dilantik Trump ketika penggal pertamanya sebagai presiden, menyuarakan pendapat berbeza dan berpendapat pembinaan sepatutnya dibenarkan diteruskan. 

Menurut beliau, injunksi yang dikenakan mahkamah rendah melangkaui bidang kuasa sewajarnya institusi kehakiman.

Trump sebelum ini mempertahankan kos projek itu yang hampir dua kali ganda lebih tinggi berbanding anggaran awal. 

Beliau menjelaskan, kenaikan kos berpunca daripada saiz bangunan yang lebih besar dan spesifikasi yang lebih berkualiti berbanding cadangan asal, sambil menegaskan dewan majlis itu akan menjadi sebuah kemudahan yang "hebat, selamat dan terjamin." - Agensi

Must Watch Video

Advertisement