Skip to main content

Dunia

Tanda purba 40,000 tahun beri petunjuk asal usul penulisan lebih awal daripada disangka

Sumber: X/Alison Fisk
Figurin mamut berusia 40,000 tahun yang diukir dengan deretan tanda silang dan titik. - Foto X/Alison Fisk

BERLIN: Satu kajian baharu mencadangkan bahawa manusia Zaman Batu mungkin sudah merakam maklumat menggunakan simbol hampir 40,000 tahun lebih awal daripada usia sistem tulisan terawal yang diketahui.

Penyelidik menemui corak titik, garisan, takik dan silang pada artifak gading dan tulang yang berusia antara 34,000 hingga 45,000 tahun, kebanyakannya dari gua di wilayah Swabian Jura, Jerman.

Advertisement

Pasukan penyelidik dari Saarland University dan Museum fur Vor- und Fruhgeschichte menganalisis lebih 3,000 tanda pada 260 objek menggunakan kaedah komputasi.

Mereka mendapati simbol-simbol tersebut mempunyai tahap kerumitan dan kepadatan maklumat yang hampir menyamai protocuneiform dari Mesopotamia yang hanya muncul sekitar 3,000 SM.

Antara penemuan utama ialah figur mamut kecil dari Gua Vogelherd dan artifak “Adorant” dari Gua Geißenklosterle, kedua-duanya diukir dengan baris titik dan takik yang tersusun, dipercayai berfungsi sebagai sistem komunikasi atau rakaman maklumat.

Penyelidik menyimpulkan bahawa ukiran ini bukan hiasan rawak, tetapi dilakukan secara sengaja untuk menyampaikan mesej.

Menurut Prof Christian Bentz, tanda-tanda ini mungkin merupakan satu bentuk sistem notasi awal, sementara Ewa Dutkiewicz menegaskan bahawa kerajinan yang teliti pada artifak menunjukkan betapa pentingnya penyampaian maklumat kepada masyarakat Paleolitik.

Hasil kajian yang diterbitkan dalam PNAS ini membuka kemungkinan bahawa keupayaan manusia untuk “menulis” atau merakam idea telah bermula puluhan ribu tahun lebih awal daripada apa yang dipercayai selama ini.

Must Watch Video