Skip to main content
Advertisement

Malaysia

[KOLUMNIS] Kuasa lautan biru: Sumber makanan dan tenaga bersih untuk kelestarian

Hari Lautan Sedunia menjadi peringatan bahawa lautan bukan hanya hamparan air memisahkan daratan tetapi merupakan nadi kehidupan kepada planet bumi dan seluruh penghuninya
Hari Lautan Sedunia menjadi peringatan bahawa lautan bukan hanya hamparan air memisahkan daratan tetapi merupakan nadi kehidupan kepada planet bumi dan seluruh penghuninya. - Gambar janaan AI

TARIKH 8 Jun setiap tahun diangkat sebagai Hari Lautan Sedunia untuk menjadi peringatan bahawa lautan bukan hanya hamparan air memisahkan daratan tetapi merupakan nadi kehidupan kepada planet bumi dan seluruh penghuninya.

Keluasan lautan merangkumi 70 peratus permukaan bumi, menjadikannya pembekal utama sumber protein, oksigen, menstabilkan iklim dunia, menjadi laluan perdagangan selain menjadi membentuk identiti budaya dan ruang kehidupan kepada sesebuah negara maritim seperti Malaysia.

Pelihara lautan untuk kelangsungan hidup penghuni bumi

Namun dalam diam, lautan yang banyak memberi manfaat kepada kehidupan manusia ini semakin menanggung tekanan akibat perbuatan manusia sendiri. Kesihatan laut dunia pada hari ini berdepan tiga ancaman utama iaitu pencemaran, faktor tekanan berkaitan iklim dan eksploitasi lautan berlebihan. Kajian terbaharu menunjukkan lebih 40 peratus lautan dunia terkesan kerana aktiviti manusia.

Salah satu pencemaran yang memusnahkan lautan adalah pembuangan plastik dan bahan sisa kimia ke dalam laut. Setiap tahun, dianggarkan 4.8 hingga 12.7 juta tan metrik sisa plastik dihumban ke dalam laut yang menjadi cabaran utama masa sekarang. Bongkah sisa plastik kemudian terurai menjadi mikroplastik dan ditemukan di dasar lautan paling dalam.

Selain itu, pelepasan nitrogen dan fosforus sisa pertanian serta industri yang tinggi ke dalam laut membawa kepada eutrofikasi. Proses ini menyebabkan pembiakan kembangan alga yang memberi kesan kepada hidupan marin kerana ia mengurangkan tahap oksigen dalam sesuatu perairan.

Sisa daripada industri pelupusan kapal dan penerokaan sumber minyak juga menjadi salah satu pencemaran kepada lautan apabila berlaku pelepasan sisa logam berat dan pencemaran organik berulang ke dalam ekosistem lautan.

Dalam konteks perubahan iklim global, para saintis memberi amaran tentang fenomena yang dikenali sebagai “trio maut” lautan iaitu pemanasan, pengasidan dan penyahoksigenan yang berlaku secara serentak dan saling berkait.

Pemanasan lautan berlaku apabila suhu permukaan laut meningkat akibat peningkatan pelepasan gas rumah hijau. Keadaan ini mencetuskan gelombang haba marin yang memberi tekanan besar kepada ekosistem laut.

Terumbu karang, khususnya, menjadi antara yang paling terjejas apabila mengalami pelunturan dan kematian secara besar-besaran, sekali gus menjejaskan habitat ribuan spesies marin.

Selain itu, lautan juga mengalami pengasidan apabila menyerap lebih banyak karbon dioksida daripada atmosfera. Proses ini menurunkan nilai pH air laut dan memberi kesan kepada organisma bercangkerang seperti moluska dan plankton.

Keadaan ini bukan sahaja mengganggu rantaian makanan laut, malah turut memberi implikasi kepada industri perikanan global yang menjadi sumber rezeki jutaan manusia.

Dalam masa yang sama, fenomena penyahoksigenan turut berlaku apabila air laut yang semakin panas menyebabkan ia hilang keupayaan untuk menyimpan oksigen. Kekurangan oksigen ini menyebabkan pembentukan 'zon mati' yang tidak mampu menyokong kehidupan marin. Gabungan ketiga-tiga tekanan ini menjadikan ekosistem laut semakin rapuh dan mudah terjejas.

Di samping itu, pencemaran bunyi laut juga semakin membimbangkan. Aktiviti perkapalan, penerokaan seismik serta penggunaan sonar ketenteraan menghasilkan bunyi yang mengganggu komunikasi, navigasi dan tingkah laku hidupan marin seperti ikan paus dan ikan lumba-lumba. Gangguan ini boleh menyebabkan tekanan, perubahan pola migrasi dan dalam kes tertentu membawa kepada kematian.

Eksploitasi sumber laut secara berlebihan juga menyumbang kepada kemerosotan kesihatan lautan. Aktiviti penangkapan ikan secara tidak terkawal menyebabkan penurunan populasi ikan secara global. Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan keseimbangan ekosistem, malah menjadikan rantaian makanan laut lebih mudah terdedah kepada kesan perubahan iklim.

Lautan yang menjadi simbol ketenangan dan sumber rezeki semakin terbeban dengan pelbagai ancaman pencemaran. Pada 2024, lautan dunia merekodkan suhu permukaan melebih 21 darjah celcius yang berlaku serentak dengan kadar pelepasan tinggi karbon dioksida mencecah 421 ppm, satu peningkatan daripada 220 ppm ketika permulaan Revolusi Perindustrian.

Situasi terkini yang dihadapi oleh lautan dunia menuntut tindakan kolektif lebih tegas dan bersepadu di peringkat global. Semua negara dikelilingi lautan, mempunyai ruang untuk meningkatkan komitmen terhadap pengurangan pelepasan karbon di samping memperluas kawasan perlindungan marin bagi memelihara biodiversiti laut yang semakin terancam. Tanpa kesepakatan antarabangsa yang kukuh, usaha memulihkan kesihatan lautan akan terus berdepan cabaran besar.

Dalam konteks ini, Malaysia sebagai sebuah negara maritim sudah memulakan langkah konkrit bagi melindungi lautan dan memanfaatkannya sebagai sumber makanan dan tenaga bersih.

Dengan garis pantai yang panjang serta kebergantungan tinggi terhadap sumber laut, Malaysia dikelilingi oleh Laut China Selatan, Selat Melaka, Laut Sulu, Laut Sulawesi dan Laut Andaman yang menjadi habitat kepada hampir 76 peratus spesis karang dan pelbagai jenis hidupan laut.

Hasil makanan laut Malaysia misalnya, mencecah 1.42 juta tan metrik pada 2024 disumbangkan oleh 112,344 nelayan seluruh negara. Industri perikanan negara menyumbang 0.7 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bersamaan RM17.9 bilion.

Bagi mengukuhkan lagi bidang penyelidikan, pemeliharaan dan penjanaan tenaga bersih lautan, kerajaan mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan sebuah universiti khusus berkaitan maritim iaitu Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk memperkukuh penerokaan bidang sains marin dan sumber akuatik.

Sejak ditubuhkan, UMT menyumbang kepakaran dalam bidang penyelidikan saintifik, pendidikan, pemuliharaan dan pemerkasaan komuniti melalui pelbagai program dalam usaha melahirkan lebih ramai 'warganegara biru' atau 'blue citizens' yang merujuk kepada orang ramai yang memahami pentingnya hubungan manusia dengan lautan dan menyedari bahawa kelestarian laut adalah tanggungjawab bersama.

Warganegara biru bukan hanya terdiri daripada saintis marin atau nelayan tetapi mana-mana individu sama ada guru, jurutera, ahli perniagaan, pelancong, pembuat dasar, penggiat media dan masyarakat umum yang memahami bahawa setiap perbuatan manusia di darat akan memberi kesan kepada lautan. Mereka sangat memahami bahawa manusia memerlukan lautan untuk kelangsungan hidup, lebih daripada lautan memerlukan manusia.

Jana tenaga bersih daripada lautan biru untuk kelestarian

Malaysia mula menterjemahkan agenda Ekonomi Biru melalui pelbagai dasar nasional seperti Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Dasar Lautan Negara dan agenda Ekonomi MADANI yang memperlihatkan komitmen kerajaan memanfaatkan potensi maritim negara secara sistematik dan mampan.

Di bawah Ekonomi Biru, lautan kini diiktiraf sebagai asas utama untuk penjanaan tenaga bersih dan Tenaga Boleh Baharu (TBB) disebabkan kepelbagaian sumber berasaskan laut yang boleh dimanfaatkan. Salah satunya adalah kuasa tenaga angin pesisir yang menjadi pilihan kebanyakan negara maju bagi pembangunan teknologi menuai kuasa angin untuk menghasilkan tenaga bersih berasaskan lautan.

Selain itu, arus pasang surut dan ombak lautan turut mempunyai potensi sangat besar sebagai sumber tenaga bersih. Kajian mendapati, kuasa dijana daripada arus pasang surut dan ombak lautan sangat boleh diharap dan diramal.

Kaedah lain yang dibangunkan bagi menjana tenaga bersih lautan iaitu Penukaran Kuasa Terma Lautan atau Ocean Thermal Energy Conversion (OTEC) dengan memanfaatkan perbezaan suhu antara permukaan lautan panas dan kesejukan laut dalam bagi menjana tenaga elektrik. Teknologi ini masih dalam peringkat awal pembangunan dan dilihat sangat sesuai bagi kepulauan tropika.

Satu lagi teknologi yang dibangunkan adalah penjanaan tenaga bersih berasaskan gradien kemasinan lautan yang juga dikenali sebagai kuasa osmosis dan teknologi ini menjana kuasa daripada perbezaan kepekatan garam antara air laut dan air tawar.

Di pentas antarabangsa, penyelidikan, reka bentuk dan pembangunan pelbagai teknologi bagi menjana tenaga bersih lautan diterajui oleh negara-negara maju seperti blok Eropah yang menetapkan sasaran penjanaan tenaga sehingga 100 GW menjelang 2050, dengan memanfaatkan kuasa ombak dan arus pasang surut.

Projek pembangunan teknologi ini masih berdepan pelbagai cabaran seperti kos yang tinggi, sekatan perundangan dan kesukaran fizikal apabila beroperasi dalam ekosistem marin. Disebabkan itu, pelbagai usaha dan penyelidikan masih dilaksana bagi membina satu teknologi matang untuk menjana tenaga bersih lautan ini.

Di Malaysia, projek pembangunan teknologi penjanaan tenaga bersih lautan diterajui oleh UMT dan syarikat-syarikat pembangunan tenaga melalui kerjasama strategik. Antaranya, penubuhan Centre for Offshore Renewable Energy (CEFORE) dengan kerjasama Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) yang merupakan satu model bersepadu pertama di dunia menggabungkan sumber TBB luar pesisir dengan sistem penstoran serta sistem pengurusan tenaga bersih.

Kolaborasi ini menjadikan CEFORE sebagai model perintis penjanaan TBB luar pesisir yang bukan sahaha berfungsi sebagai pusat penjanaan lestari malah menjadi platform integrasi ilmu, inovasi dan pembangunan kapasiti negara.

Selain matlamat teknikal, CEFORE juga dirangka untuk memberi impak bermakna kepada komuniti dengan menyokong peluang ekonomi komuniti setempat seperti penyediaan kemudahan penyimpanan sejuk dan pembuatan ais dikuasakan TBB diberikan secara percuma kepada nelayan.

Selain itu, CEFORE juga diilhamkan sebagai hab edu-pelancongan dan pembelajaran awam apabila pengunjung boleh mempelajari mengenai teknologi TBB dan amalan kemampanan.

Pelbagai institusi penyelidikan berkaitan marin dan akuatik telah diasaskan oleh UMT seperti Blue Economy Advancement Centre (BEACON), Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), Institut Akuakultur Tropik dan Perikanan (AKUATROP)  dan Institut Adaptasi Iklim dan Bioteknologi Marin (ICAMB).

Antara lain, institusi penyelidikan di bawah UMT ini tertumpu kepada pengukuhan pembangunan Ekonomi Biru Malaysia, berperanan sebagai hab penyelidikan, perundingan dasar, melatih kepakaran dan jaringan kerjasama industri dan antarabangsa.

Ia juga melaksanakan penyelidikan mengenai perubahan iklim, biodiversiti marin, pemuliharaan terumbu karang, pembangunan bidang akuakultur lestari dan pelbagai teknologi berkaitan lautan lainnya. UMT turut menyertai jaringan antarabangsa seperti Global Ocean Accounts Partnership (GOAP) bagi membolehkan negara bergerak seiring dengan agenda global berkaitan tadbir urus lautan secara saintifik dan lestari.

UMT turut aktif dalam memperkasa komuniti pesisir pantai melalui latihan keusahawanan, perlindungan marin, teknologi akuaponik dan pembangunan produk hiliran berasaskan sumber laut bagi meningkatkan pendapatan komuniti.

Seiring dengan itu, sains dan teknologi dimanfaatkan sebaiknya sebagai pemangkin kepada pemulihan ekosistem laut. Penggunaan teknologi seperti pemantauan satelit, kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan sumber perikanan serta inovasi pembersihan laut mampu membantu mengurangkan tekanan terhadap lautan dengan lebih berkesan dan sistematik.

Kegagalan meningkatkan kesihatan lautan bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar malah turut menjejaskan ekonomi dan keselamatan makanan global. Kemerosotan sumber perikanan akan memberi impak langsung kepada pendapatan komuniti nelayan serta meningkatkan risiko kekurangan sumber protein kepada masyarakat dunia.

Nilai semula hubungan manusia-lautan, mesej Hari Lautan Sedunia

Di peringkat UMT, tema Hari Lautan Sedunia tahun ini adalah 'Lautan Tenang Tempat Berpaut' yang diinspirasi daripada lirik lagu tradisional Terengganu iaitu 'Kolek Berkolek' bagi menggambarkan hubungan masyarakat pesisir dan budaya maritim.

Semua pihak diingatkan tentang pentingnya kebersamaan dalam menjaga dan memulihara lautan yang menjadi nadi kehidupan. Ini kerana, melindungi lautan bukan satu pilihan tetapi keperluan mendesak untuk kelangsungan hidup bumi dan penghuninya.

Hari Lautan Sedunia diharap menjadi ruang bagi semua untuk merenung kembali tentang keperluan melindungi lautan. Hubungan manusia dan lautan perlu diperkukuh dari segi memastikan lautan sebagai sumber kehidupan terus dipelihara.

Lautan sentiasa memberi kepada manusia tanpa meminta balasan. Tetapi manusia pula terus mengambil manfaatnya tanpa memikirkan kesan jangka panjang terhadap kesihatan laut. Tanpa kesedaran ini, lautan yang menjadi tempat berpaut generasi akan datang akan berdepan kemusnahan berpunca daripada tangan manusia sendiri.

Jika eksploitasi berterusan tanpa kawalan, generasi akan datang mungkin hanya mengenali keindahan laut melalui catatan sejarah.

Di peringkat antarabangsa, rangka kerja United Nations Decade of Ocean Science for Sustainable Development (2021-2030) merupakan satu inisiatif global bagi meningkatkan tadbir urus lautan menggunakan sains dan teknologi serta inovasi.

Malaysia sedang melaksanakan dan berusaha membina satu ekosistem lengkap sebagai sebuah negara maritim untuk melindungi dan menjana manfaat daripada lautan. Agenda besar ini memerlukan sokongan semua pihak kerana lautan adalah sumber kehidupan untuk semua.


* Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim adalah Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

Must Watch Video

Advertisement