MOSCOW: Rusia yakin bahawa tanpa penubuhan sebuah negara Palestin, tidak akan wujud keamanan atau kestabilan di Asia Barat, kata Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov.
"Adalah menjadi keyakinan teguh kami yang tidak akan ada kestabilan atau ketenangan di sana tanpa sebuah negara Palestin," kata Lavrov kepada penyiar Al Arabia, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Advertisement
Beliau berkata menangani punca utama konflik adalah keperluan penting untuk menyelesaikan krisis Arab-Israel.
Rusia, katanya, melihat Arab Saudi sebagai rakan strategik dan percaya pandangan itu turut dikongsi oleh kerajaan berkenaan.
"Negara kami menganggap Arab Saudi sebagai rakan strategik di rantau ini. Kami percaya pandangan ini turut dikongsi oleh rakan kami dari Arab Saudi," katanya, sambil menjelaskan kedua-dua negara membangunkan hubungan melalui dialog di peringkat tertinggi.
Lavrov turut menyatakan yang Rusia menghargai hubungannya dengan Syria, yang berasaskan prinsip saling menghormati dan saling menguntungkan.
"Saling menghormati dan manfaat bersama - inilah prinsip yang menjadi asas hubungan kami dengan Republik Arab Syria sejak awal penubuhannya. Kami amat menghargai hubungan ini," katanya.
Beliau berkata hubungan Rusia-Syria mempunyai warisan yang kukuh sejak era Kesatuan Soviet, apabila Moscow membantu Damsyik membina kemudahan industri dan melaksanakan projek pendidikan.
"Kami berkongsi warisan yang kaya sejak zaman Soviet, apabila banyak kemudahan industri dibina dan inisiatif pendidikan dilaksanakan. Rakyat Syria mengingatinya," kata Lavrov, sambil berkata sentimen itu jelas dirasai setiap kali pertemuan diadakan antara kedua-dua pihak.
Pembangkang bersenjata Syria menawan Damsyik pada 8 Dis 2024. Bashar al-Assad meletak jawatan sebagai presiden dan meninggalkan negara itu. Pada Januari 2025, Ahmed Sharaa, bekas komander pemberontak, diisytiharkan sebagai presiden peralihan.
Mengenai Eropah, Lavrov menyatakan yang benua itu telah merosot, namun masih terdapat "suara rasional" yang bersedia berkomunikasi dengan Rusia.
"Eropah merosot. Namun masih ada suara rasional. Mereka yang mahu berinteraksi dengan kami - silakan," katanya, merujuk kepada lawatan Perdana Menteri Hungary Viktor Orban dan Perdana Menteri Slovakia Robert Fico ke Moscow.
Menurutnya, pemimpin yang menyemarakkan sentimen anti-Rusia didorong bukan oleh kepentingan rakyat mereka tetapi oleh cita-cita politik.
--BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI