INTERNATIONAL
Tarif Amerika: Kanada hanya akan berunding dengan Trump ikut terma sendiri - PM Carney

Carney menegaskan, Kanada layak mendapat penghormatan daripada Amerika Syarikat dan hanya akan mengadakan rundingan perdagangan dan keselamatan dengan Presiden Donald Trump "mengikut terma kami." - Gambar fail Reuters
OTTAWA: Perdana Menteri Kanada, Mark Carney menegaskan, negaranya layak mendapat penghormatan daripada Amerika Syarikat (AS) dan hanya akan mengadakan rundingan perdagangan dan keselamatan dengan Presiden Donald Trump "mengikut terma kami."
Dalam temu bual eksklusif bersama BBC ketika proses pengiraan undi hampir selesai, Carney berkata, beliau hanya akan ke Washington sekiranya terdapat “perbincangan serius” yang menghormati kedaulatan Kanada.
Sejak Trump dipilih semula ke White House, Presiden AS itu kerap menyuarakan hasrat untuk menjadikan Kanada sebagai "negeri ke-51" Amerika Syarikat - kenyataan yang sekali lagi diulang oleh pihak White House pada Selasa.
“Pilihan raya ini tidak mengubah rancangan Presiden Trump untuk menjadikan Kanada negeri ke-51 yang amat disayangi Amerika,” kata jurucakap timbalan White House, Anna Kelly.Carney, yang mencatat kemenangan bersejarah buat Parti Liberal dalam pilihan raya tergempar pada Isnin lalu, menyifatkan cadangan itu sebagai sesuatu yang “tidak akan berlaku, sama sekali.”
“Terus terang, saya tidak fikir perkara ini akan berlaku kepada mana-mana negara pun… sama ada Panama, Greenland atau yang lain,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Carney berkata, terdapat potensi “menang-menang” sekiranya Kanada berjaya memeterai perjanjian bersama AS sambil terus memperkukuh hubungan perdagangan dengan Kesatuan Eropah dan United Kingdom.
Hubungan tegas Kanada-AS
Amerika Syarikat merupakan pasaran utama bagi perniagaan Kanada, dengan kira-kira 75 peratus eksport Kanada menghala ke selatan. Sebaliknya, hanya 17 peratus eksport AS datang dari Kanada.
Kanada juga adalah pembekal minyak mentah asing terbesar kepada AS.
Defisit perdagangan Amerika dengan Kanada - yang dijangka mencecah AS$45 bilion pada 2024 - sebahagian besarnya dipacu oleh permintaan tenaga dari AS.
Hubungan dua hala antara Kanada dan AS semakin meruncing dalam beberapa bulan kebelakangan ini, susulan kenyataan Trump yang menyamakan Kanada sebagai “negeri ke-51” dan pernah merujuk bekas
Perdana Menteri, Justin Trudeau sebagai “Gabenor” - gelaran bagi ketua negeri di Amerika Syarikat.
Trump juga telah mencetuskan perang perdagangan global yang menyaksikan Kanada antara negara pertama yang dikenakan tarif.
Presiden AS itu mengenakan tarif 25 peratus terhadap pelbagai barangan dari Kanada, termasuk import aluminium dan keluli, kecuali produk yang dilindungi di bawah perjanjian perdagangan USMCA antara AS, Kanada dan Mexico.
Sebagai tindak balas, Kanada mengenakan tarif balas bernilai C$60 bilion (AS$42 bilion) ke atas barangan dari AS.
Carney menegaskan, sebarang rundingan dengan Trump akan berlangsung “mengikut terma kami, bukan terma mereka.”
“Ada potensi untuk menjalin kerjasama dari segi ekonomi dan keselamatan tetapi ia akan berbeza sama sekali daripada apa yang pernah wujud sebelum ini,” ujarnya.
Kanada layak dihormati
Carney turut mengetengahkan pengalamannya mengurus krisis ekonomi global sebagai kelebihan dalam berdepan isu tarif bersama Trump.
Sebelum menjadi Perdana Menteri pada awal Mac, Carney tidak pernah memegang jawatan politik.
Beliau merupakan seorang tokoh perbankan yang pernah menerajui Bank of Canada semasa krisis kewangan global 2008, sebelum dilantik sebagai warga bukan British pertama yang mengetuai Bank of England dari 2013 hingga 2020.
Menurutnya, Kanada adalah “pelanggan terbesar kepada lebih 40 negeri di AS.”
“Ingat bahawa kita membekalkan tenaga penting kepada mereka. Kita juga membekalkan baja kepada para petani mereka,” kata Carney kepada BBC.
“Kita layak untuk dihormati. Kita menjangkakan penghormatan, dan saya pasti kita akan menerimanya semula dalam masa yang sesuai - barulah kita boleh duduk berbincang.”
Kanada, AS dan Mexico memiliki ekonomi yang amat terintegrasi dengan nilai berbilion dolar dalam bentuk barangan seperti alat ganti kenderaan melintasi sempadan setiap hari.
Namun, pengenalan tarif - cukai yang dikenakan ke atas barangan import dan dibayar oleh pengimport kini mengancam kerjasama yang telah dibina sejak beberapa dekad.
Trump berhujah bahawa tarif akan menggalakkan rakyat Amerika membeli barangan buatan tempatan, seterusnya merangsang sektor perkilangan dan membuka peluang pekerjaan di AS. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami