TOKYO: Taufan Chan-hom melanda wilayah Ibaraki di timur Jepun pada malam Selasa, menurut agensi meteorologi negara itu yang turut menggesa orang ramai supaya berwaspada terhadap angin kencang, ombak besar dan hujan lebat, lapor Xinhua.
Chan-hom, yang bergerak dalam arah luar biasa dari timur ke barat, merupakan taufan pertama yang melanda wilayah Ibaraki di timur laut Tokyo sejak rekod mula disimpan pada 1951, menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA).
Taufan ke-15 tahun ini dijangka bergerak ke barat Jepun sebelum melemah menjadi lekukan tropika menjelang awal petang Rabu, menurut JMA.
Pegawai meteorologi meramalkan hujan sehingga 180 milimeter di wilayah Kanto-Koshin, 150 milimeter di wilayah Tohoku di timur laut Jepun, 120 milimeter di wilayah Tokai di tengah Jepun dan 80 milimeter di wilayah Kinki di barat negara itu dalam tempoh 24 jam sehingga 6 petang waktu tempatan pada Rabu.
Sementara itu, Sputnik/RIA Novosti yang memetik data syarikat tenaga TEPCO melaporkan lebih 19,000 isi rumah di wilayah Kanto terputus bekalan elektrik akibat Taufan Chan-hom.
Sehingga 1.43 tengah hari GMT, sebanyak 17,830 isi rumah di wilayah Ibaraki mengalami gangguan bekalan elektrik, diikuti 1,150 isi rumah di wilayah Tochigi, kira-kira 300 isi rumah di wilayah Gunma dan 160 isi rumah di wilayah Chiba.
-- BERNAMA-AGENSI