TOKYO: Hampir dua juta penduduk di Jepun menerima arahan pemindahan apabila Taufan Dujuan melanda beberapa wilayah negara itu dengan angin kencang, hujan lebat dan ancaman tanah runtuh.
Penyiar awam Jepun, NHK, melaporkan sekurang-kurangnya dua individu maut manakala empat lagi dilaporkan hilang akibat bencana berkenaan. Empat kes kehilangan turut dilaporkan di wilayah Kanagawa.
Sebelum ini, Agensi Meteorologi Jepun mengeluarkan amaran mengenai "ancaman segera terhadap nyawa" susulan cuaca ekstrem yang dibawa taufan tersebut, namun beberapa amaran cuaca kini telah diturunkan ke tahap lebih rendah.
Taufan Dujuan membawa angin berterusan sehingga 130 kilometer sejam (km/j) dengan kelajuan tiupan mencecah 194 km/j, menyebabkan kerosakan meluas termasuk gangguan bekalan elektrik kepada lebih 50,000 pengguna.
Ratusan penerbangan dibatalkan manakala perkhidmatan kereta api di beberapa kawasan turut digantung sebagai langkah keselamatan.
Pihak berkuasa menggesa orang ramai supaya terus mengikuti maklumat cuaca terkini dan mematuhi arahan pemindahan bagi mengelakkan risiko kehilangan nyawa.
Taufan Dujuan, yang merupakan taufan ke-25 melanda Jepun tahun ini, berlaku ketika negara itu sedang menikmati cuti umum selama lima hari, sekali gus menyebabkan beberapa acara besar terpaksa dibatalkan.
Konsert yang dijadualkan berlangsung pada Isnin sempena festival muzik Rock in Japan dibatalkan, manakala acara permainan video Tokyo Game Show turut membatalkan program hariannya.
Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban menerusi hantaran di platform X dan memaklumkan beliau tetap meneruskan lawatan rasmi ke Amerika Syarikat seperti yang dijadualkan.
Beliau berkata telah mengarahkan pegawai kanan kerajaan serta kementerian berkaitan mengambil langkah persediaan maksimum bagi menghadapi kesan taufan tersebut.
Menurut pihak berkuasa tempatan, seorang wanita berusia lingkungan 60-an maut selepas dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang memusnahkan kediamannya di Yokosuka. Mangsa ditemukan oleh pasukan penyelamat sebelum disahkan meninggal dunia.
Dalam kejadian berasingan di wilayah Chiba, seorang lelaki berusia 50-an yang terlibat dalam kerja pembersihan kawasan tanah runtuh dilaporkan maut selepas terjatuh bersama jentera berat ke dalam kawasan belukar buluh. Polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden itu.
Sementara itu, anggota bomba di Kanagawa turut menerima laporan mengenai sebuah rumah yang musnah akibat dihempap tanah runtuh, dengan operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.
Pakar iklim menjelaskan pemanasan suhu laut yang dikaitkan dengan fenomena El Nino dan perubahan iklim berpotensi meningkatkan kekuatan taufan yang terbentuk di rantau Pasifik.
Air laut yang lebih panas membolehkan ribut menyerap lebih banyak tenaga, menghasilkan kelajuan angin lebih tinggi serta hujan yang lebih lebat.
Taufan Dujuan kini terus bergerak ke arah utara menyusuri pesisir Pasifik Jepun, dan tahap sebenar kerosakan dijangka hanya dapat dinilai sepenuhnya dalam tempoh 24 jam akan datang.