BEIJING: Taufan Saudel membadai kawasan pesisir timur China dua kali dalam tempoh kira-kira sejam hari ini, sekali gus memaksa pihak berkuasa melaksanakan operasi pemindahan berskala besar serta menggantung perkhidmatan kereta api dan feri penumpang.
Menurut media rasmi China, taufan itu mendarat di bandar Taizhou pada 8.05 pagi sebelum membadai bandar Wenzhou pada 9.10 pagi.
Kejadian itu menjadikan Saudel taufan ketiga yang melanda wilayah Zhejiang tahun ini.
Agensi berita Xinhua melaporkan Saudel dijangka membawa hujan lebat ke Zhejiang dan Fujian serta berpotensi mencetuskan hujan sangat lebat dan banjir di beberapa kawasan.
Ketika bergerak ke kawasan pedalaman, taufan itu turut dijangka menjejaskan beberapa wilayah lain termasuk Hubei, Guangxi dan Yunnan.
Susulan ancaman berkenaan, stesen televisyen CCTV melaporkan kerajaan Wenzhou telah mengarahkan lebih 820,000 penduduk dipindahkan ke kawasan selamat.
Langkah sama turut diambil oleh pihak berkuasa Taizhou yang menggantung lapan laluan feri penumpang serta mengenal pasti kira-kira 52,000 penduduk yang perlu dipindahkan dari kawasan berisiko.
Dalam pada itu, China Railway Shanghai Group mengumumkan penggantungan sementara beberapa perkhidmatan kereta api di Zhejiang dari Khamis hingga Jumaat.
Sementara itu, di wilayah jiran Fujian, respons kecemasan yang diaktifkan sejak Khamis menyaksikan semua projek pembinaan di kawasan pesisir dihentikan, selain 57 laluan feri penumpang ditutup.