KUALA LUMPUR: MERCY Malaysia menyeru masyarakat, agensi kerajaan, sektor swasta dan rakan kemanusiaan memperkukuh usaha bersama-sama dalam kesiapsiagaan menghadapi bencana serta mengurangkan risiko bagi mewujudkan persekitaran lebih selamat dan berdaya tahan.
Presiden MERCY Malaysia Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata kesiapsiagaan dalam kalangan masyarakat, petugas dan sukarelawan organisasi itu perlu dijadikan amalan harian sebelum berlaku bencana.
“Masyarakat perlu dibekalkan dengan pengetahuan dan sokongan bagi memahami risiko yang dihadapi serta mengambil langkah sewajarnya untuk melindungi diri dan keluarga. MERCY Malaysia percaya bahawa usaha membina daya tahan adalah tanggungjawab bersama-sama.
“Hal ini termasuk mempertingkat tahap kesiapsiagaan petugas dan sukarelawan kami, selain berganding bahu bersama-sama masyarakat, agensi kerajaan serta rakan kemanusiaan untuk mengurangkan risiko dan menyelamatkan nyawa,” katanya dalam kenyataan bersempena dengan sambutan Hari Pengurangan Risiko Bencana Antarabangsa hari ini.
MERCY Malaysia turut melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh kesiapsiagaan bencana, termasuk Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM), sistem amaran awal komuniti dan program kesiapsiagaan di sekolah yang bertujuan membantu masyarakat mengenal pasti bahaya setempat, memahami tahap kerentanan serta mengambil langkah sewajarnya untuk meningkatkan kesiapsiagaan.
Hari Pengurangan Risiko Bencana Antarabangsa disambut pada 13 Okt setiap tahun dengan pada tahun ini bertemakan “Daya Tahan Bermula di Rumah” yang menekankan peranan isi rumah dan komuniti dalam memahami risiko setempat, mengambil langkah pencegahan serta membuat persediaan menghadapi kecemasan.
-- BERNAMA