BANGKOK: Seorang aktor dari siri televisyen popular di Thailand ditahan polis selepas teman wanitanya dijumpai mati dengan kesan tikaman di sebuah kediaman di Bangkok pada awal pagi Jumaat.

Portal berita Bangkok Post melaporkan, berita mengejutkan yang berlaku di daerah Khlong Samwa itu dilaporkan kepada polis Khannayao pada jam 1.30 pagi waktu tempatan.

Anggota polis dan forensik yang bergegas ke lokasi kejadian menemui Chatsaran Suwannakit, 25, yang sudah tidak bernyawa, terlentang di atas lantai bilik tidur di aras dua kediaman itu.

Mangsa dikatakan mempunyai sekurang-kurangnya 20 kesan tikaman di dada dan bahagian tubuh lain.

Pelakon lelaki itu, Thanapat ‘Toy Toy’ Thanachakulphisan, 21, berada di lokasi kejadian ketika polis tiba. Dia kelihatan panik, menurut laporan media tempatan.

Sebilah pisau sepanjang lima inci dengan kesan darah juga ditemui di dalam rumah berkenaan.

Thanapat kini ditahan polis untuk siasatan lanjut. - Instagram @toytoyistoyy

Sewaktu disoal siasat, Thanapat memberitahu, dia dan teman wanitanya minum minuman keras pada malam sebelumnya, sebelum terjadi perbalahan.

Teman wanitanya mendesaknya supaya mengemas barang dan meninggalkan rumah itu.

Thanapat mengakui teman wanitanya tidak henti memarahinya dan telah ke dapur dan kembali dengan sebilah pisau. Mereka kemudian bergelut kerana, menurut Thanapat, dia mahu merampas pisau tersebut, namun berkesudahan dengan mangsa tertikam.

Polis yang tidak yakin dengan pengakuan itu telah menahannya untuk siasatan lanjut dan meneruskan pendakwaan.

Mayat mangsa telah dibawa ke hospital untuk bedah siasat.

Di akaun Facebook Chatsaran, wanita itu pernah memuat naik gambar dirinya dengan kecederaan pada muka, selain terdapat mesej pada 8 Julai mengatakan dia mengalami kemurungan, selain didiagnosis dengan bipolar pada dua tahun lalu.

Thanarat merupakan salah seorang pelakon siri televisyen berjudul Phor Rak Chai Rue Pao yang menjadi tontonan jutaan peminat setia soap opera itu di seluruh Thailand.