Skip to main content

Malaysia

MAPIM gesa kerajaan aktifkan strategi kesiapsiagaan nasional hadapi krisis global

MAPIM menggesa Majlis Keselamatan Negara menyelaraskan pendekatan Whole Nation Approach dengan melibatkan kementerian berkaitan, agensi keselamatan, institusi kewangan, syarikat utiliti, pengusaha makanan serta pertubuhan bukan kerajaan. - Gambar fail
MAPIM menggesa Majlis Keselamatan Negara menyelaraskan pendekatan Whole Nation Approach dengan melibatkan kementerian berkaitan, agensi keselamatan, institusi kewangan, syarikat utiliti, pengusaha makanan serta pertubuhan bukan kerajaan. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa kerajaan segera mengaktifkan strategi kesiapsiagaan nasional secara menyeluruh, bagi menghadapi kemungkinan krisis global susulan ketegangan geopolitik dan konflik antarabangsa yang semakin meruncing.

Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata Malaysia perlu beralih daripada pendekatan pengurusan krisis secara reaktif kepada kesiapsiagaan proaktif, dengan melibatkan kerajaan, sektor swasta, institusi keselamatan, masyarakat sivil dan rakyat.

Beliau berkata pergolakan di Asia Barat, ketegangan antara kuasa besar serta ketidaktentuan perdagangan antarabangsa berpotensi memberi kesan kepada Malaysia menerusi kenaikan harga tenaga, gangguan laluan perkapalan, ketidakstabilan kewangan dan bekalan makanan.

Advertisement

“Malaysia tidak boleh menganggap negara ini terkecuali daripada kesan konflik global. Kerajaan mesti melihat ancaman ini sebagai persoalan keselamatan nasional, yang merangkumi seluruh aspek kehidupan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan dengan itu, MAPIM menggesa Majlis Keselamatan Negara menyelaraskan pendekatan Whole Nation Approach dengan melibatkan kementerian berkaitan, agensi keselamatan, institusi kewangan, syarikat utiliti, pengusaha makanan serta pertubuhan bukan kerajaan.

Advertisement

MAPIM turut mencadangkan kerajaan memperkenalkan garis panduan kesiapsiagaan kecemasan isi rumah yang menggalakkan setiap keluarga menyediakan bekalan makanan, air minuman, ubat-ubatan dan keperluan asas sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga hingga 10 hari.

Selain itu, kerajaan disaran memperkukuh keterjaminan makanan negara menerusi peningkatan pengeluaran domestik, kepelbagaian sumber import, penambahan kemudahan penyimpanan makanan strategik serta penyediaan pelan pengagihan bekalan ketika kecemasan.

Beliau berkata kesiapsiagaan negara juga perlu merangkumi perlindungan infrastruktur kritikal, keselamatan siber, bekalan tenaga, sistem kewangan dan komunikasi bagi menghadapi pelbagai ancaman termasuk serangan siber, sabotaj serta manipulasi maklumat.

MAPIM turut mencadangkan penubuhan Majlis Kesiapsiagaan Nasional di bawah penyelarasan Majlis Keselamatan Negara, sebagai platform strategik yang merangkumi lima bidang utama iaitu keselamatan negara, keterjaminan makanan, daya tahan digital, ketahanan ekonomi dan tenaga serta kesiapsiagaan komuniti dan kemanusiaan.

Kerajaan juga digesa melaksanakan pelan tindakan 90 hari yang merangkumi audit risiko nasional, latihan simulasi antara agensi, penyediaan garis panduan kecemasan isi rumah dan laporan penilaian kesiapsiagaan nasional bagi memastikan Malaysia bersedia menghadapi sebarang kemungkinan krisis.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement