Dunia sekali lagi dikejutkan dengan insiden tembakan dalam pawagam oleh seorang lelaki berusia 58 tahun pada Khamis di Louisiana, Amerika Syarikat. .

Pelawak Amy Schumer mengucapkan takziah selepas polis mengesahkan tiga orang ditembak mati di sebuah pawagam ketika tayangan filem beliau Trainwreck di Lafayette, Louisiana.

“Hati saya berkecai dan ingatan dan doa saya bersama mereka di Louisiana,” tulis Amy menerusi akaun Twitternya.


Selain pelakon Trainwreck itu, selebriti lain juga turut menyampaikan mesej takziah dan doa mereka kepada mangsa dan keluarga mangsa.

Antara selebriti antarabangsa yang mengucapkan takziah di laman Twitter ialah penyanyi Samuel Frederick, pelakon Willie Garson, pelakon Timothy Simons dan ahli perniagaan terkenal, Donald J.Trump.















Terdahulu, tiga orang dilapor terbunuh dan sekurang-kurangnya tujuh cedera selepas seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan ketika tayangan filem Trainwreck di Lafayette, Louisiana pada Khamis.

Kira-kira 100 orang berada dalam pawagam tersebut ketika insiden itu berlaku.

Bagaimanpun, pihak berkuasa berkata, lelaki bersenjata itu membunuh diri selepas insiden tersebut.

Trainwreck merupakan sebuah filem Amerika bergenre komedi romantik yang diarah oleh Judd Apatow dan ditulis oleh Amy Schumer.

Menurut portal IMDb, filem Trainwreck bakal menemui penonton di Malaysia pada 2 Ogos 2015.