Sekurang-kurangnya 36 orang terbunuh dalam pengeboman terbaru yang berlaku di Aleppo pada Isnin.

Menurut pekerja penyelamat, Ibrahim Abu Leith yang berkata kepada AlJazeera, kerajaan Syria kini meningkatkan usaha untuk menguasai kawasan timur yang sebelum ini dikuasai kumpulan pejuang tempatan.

Usaha menawan semula lokasi ini menjadi penting bagi kerajaan Syria memandangkan kawasan terbabit telah dikuasai pejuang tempatan sejak tercetusnya konflik lebih lima tahun lalu.

Lebih parah, semua hospital di bandar Aleppo musnah dalam siri pengeboman yang dilakukan kerajaan.

Kumpulan penentang dilaporkan tidak dapat bertahan memandangkan rejim Assad dibantu tentera Rusia, selain dibantu pasukan dari Iran dan gerakan Syiah Lebanon.

Menurut Pengarah Agensi Kanak-Kanak PBB, Geert Cappelaere, lebih 100,000 kanak-kanak dipercayai 'terperangkap' dalam pertempuran ini.

Tidak kurang dengan itu, krisis kemanusiaan di Syria kini dianggapkan sebagai satu malapetaka kemanusiaan memandangkan sejumlah 974,080 orang kini hdup dalam kepungan di Syria, jumlah yang meningkat dari 486,700 enam bulan lalu.

Ini ditegaskan Ketua Kemanusiaan PBB, Stephen O'Brien ketika memberi taklimat kepada Majlis Keselamatan PBB pada Isnin mengenai situasi di Aleppo.

"Keadaan di lokasi yang dikuasai pejuang tempatan telah menjadi lebih buruk.

"Tempat tersebut (Timur Aleppo) kini menjadi lokasi yang tidak sesusai untuk kehidupan manusia.

"Serangan yang tidak berperikemanusiaan ini tidak seharusnya diteruskan dan tembakan kepada orang awam perlu dihentikan segera," katanya lagi.