ISTANBUL: Markas Pemerintahan Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) memaklumkan pada Sabtu bahawa pasukannya telah menyerang dan melumpuhkan tiga kapal tangki minyak mentah Iran selepas Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) melancarkan peluru berpandu balistik ke arah dua kapal perang Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) di perairan rantau itu, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam satu kenyataan yang dikongsi menerusi platform media sosial X, CENTCOM menyatakan, sebuah kapal pengangkut pesawat dan sebuah kapal pembinasa peluru berpandu berjaya mengelak beberapa serangan Iran, sambil menambah tiada anggota tentera Amerika yang cedera.
Menurut kenyataan itu, pasukan AS melumpuhkan secara kekal kapal M/T Downy di luar pantai Pulau Kharg dan M/T Stark 1 berhampiran Jask.
Mereka turut memusnahkan kapal M/T Kylo yang tidak bermuatan, juga dikenali sebagai "Noxen," di Teluk Oman selepas anak kapalnya diarahkan untuk meninggalkan kapal.
CENTCOM memaklumkan bahawa kapal-kapal berkenaan merupakan sebahagian daripada "rangkaian bayangan bernilai berbilion dolar" yang didakwa digunakan untuk membiayai IRGC dan proksi rantau itu.
Ketegangan serantau semakin meningkat sejak serangan AS-Israel ke atas Iran bermula pada 28 Feb, dengan Tehran membalas menerusi serangan peluru berpandu dan dron ke atas Israel serta kepentingan AS di seluruh rantau berkenaan.
Washington dan Tehran menandatangani memorandum persefahaman pada 18 Jun berhubung kebebasan navigasi menerusi Selat Hormuz, namun, pelaksanaannya terhenti di tengah-tengah perselisihan pendapat mengenai pengaturan keselamatan di selat itu.
-- BERNAMA-ANADOLU