Tentera India mengesahkan telah menembak mati lapan remaja yang didakwa anggota pengganas di Kashmir.

Tindakan itu dilakukan semasa operasi menjejak pengganas di daerah Islamabad dan Shopian di bahagian selatan Kashmir pada Ahad.

Ketua Pengarah Polis Shesh Paul Vaid dalam satu kenyataan di Srinagar mendakwa, lapan pemuda terbunuh dalam dua operasi di daerah selatan Kashmir itu.

Vaid berkata tujuh mayat ditemui dari kampung Dragad di daerah Shopian.

Selain itu, beliau turut mendakwa, komander pemisah utama merupakan antara yang terbunuh dalam operasi terbabit.

Seorang lagi yang terbunuh adalah ketika serangan tembakan di Dialgam dalam daerah Islamabad.

Menurut laporan, tiga tentera India cedera semasa pertempuran berterusan di Kampung Kachdoora di selatan Kashmir.

Pada Mac, Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHC) untuk Hak Asasi Manusia, Zeid al Hussein mengisytiharkan keadaan di Kashmir sebagai perkara yang serius.

Hussein mengumumkan bahawa PBB akan membentangkan laporan utama mengenai keadaan di Kashmir pada sesi UNHRC Jun 2018.

Pada September tahun lepas, Amnesty International mengulangi seruannya untuk mengharamkan senapang patah pelet yang digunakan oleh pasukan keselamatan India di Kashmir yang digunakan bagi meredakan siri tunjuk perasaan.

Dalam satu lagi laporan, kumpulan hak asasi itu berkata ia telah menemuramah 88 orang yang penglihatannya telah rosak akibat tembakan logam dari senjata yang digunakan tenetra India terbabit.