RAMALLAH/ISTANBUL: Tentera Israel menyerbu dua sekolah di wilayah Nablus, utara Tebing Barat yang diduduki pada Ahad ketika sesi persekolahan baharu bermula, lapor Anadolu Ajansi yang memetik sumber tempatan.
Menurut sumber, tentera Israel memasuki kawasan Sekolah Menengah Lelaki Huwwara di selatan Nablus, mengancam pihak pentadbiran sekolah dan mengarahkan bendera Palestin diturunkan.
Pasukan tentera Israel yang lain turut memasuki kawasan Sekolah Menengah Lelaki Burqa di barat laut Nablus, namun tiada kecederaan atau penahanan dilaporkan, menurut sumber.
Serbuan itu berlaku pada hari pertama sesi persekolahan 2026-2027 ketika 846,289 pelajar kembali ke sekolah di seluruh Tebing Barat yang diduduki. Mereka mengikuti pembelajaran di 2,537 sekolah kerajaan, swasta dan kendalian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dengan kira-kira 54,000 guru.
Menurut Kementerian Pendidikan Palestin, seramai 634,294 pelajar mengikuti pembelajaran di 1,967 sekolah kerajaan, manakala 163,787 lagi di 480 sekolah swasta. Seramai 48,208 pelajar pula mengikuti pembelajaran di 90 sekolah yang dikendalikan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).
Sesi persekolahan baharu bermula ketika serangan tentera dan peneroka haram Israel semakin meningkat di seluruh Tebing Barat yang diduduki, khususnya di kawasan luar bandar dan komuniti Badwi, termasuk serangan yang menjejaskan sekolah serta kemudahan pendidikan lain.
Di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki, kementerian memaklumkan sesi persekolahan bermula meskipun Israel mengenakan pelbagai tindakan yang menyasarkan sekolah, guru, pelajar dan kurikulum Palestin.
Kementerian itu memaklumkan empat sekolah tambahan dibuka di kawasan pedalaman dan komuniti Badwi bagi murid peringkat rendah susulan ancaman Israel untuk merobohkan bangunan dan melakukan pemindahan secara paksa terhadap komuniti di Kawasan C, Tebing Barat yang diduduki.
Kementerian turut memperuntukkan AS$1.5 juta untuk menyediakan perkhidmatan bas kepada pelajar di kawasan terjejas bagi memastikan mereka dapat ke sekolah.
Di Semenanjung Gaza, kakitangan pentadbiran dan tenaga pengajar dijadual kembali bertugas pada 16 Sept, manakala pelajar dijangka memulakan semula sesi pembelajaran pada 19 Sept, menurut kementerian.
Pihak berkuasa sedang menyediakan kira-kira 700 pusat pembelajaran bersemuka di seluruh wilayah itu untuk lebih setengah juta pelajar, selain 25 sekolah sementara. Pembelajaran dalam talian akan diteruskan bagi pelajar yang tidak dapat hadir ke pusat pembelajaran bersemuka.
Kementerian memaklumkan langkah itu akan membolehkan kira-kira 541,000 pelajar di Gaza meneruskan pendidikan dengan sumber yang tersedia ketika ini.
Ratusan ribu pelajar di Gaza tidak dapat mengikuti persekolahan secara tetap sejak perang Israel bermula pada Oktober 2023, manakala banyak sekolah dijadikan pusat perlindungan bagi penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal.
Tentera Israel telah membunuh lebih 73,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 174,000 yang lain dalam perang kejam yang memusnahkan atau merosakkan sebahagian besar infrastruktur awam Gaza.
-- BERNAMA-ANADOLU