DUNIA
Tentera Kemboja setuju berundur dari kawasan pertikaian dengan Thailand

Thailand dan Kemboja telah bersetuju untuk menggunakan mekanisme jawatankuasa sempadan tempatan bagi membincangkan pengurusan kawasan pertikaian secara berterusan. - Foto X/@KhaosodEnglish
PHNOM PENH: Tentera Kemboja telah bersetuju untuk berundur dari kawasan pertikaian sempadan dengan Thailand selepas rundingan antara kedua-dua negara.
Keputusan ini dibuat bagi meredakan ketegangan yang meningkat sejak beberapa minggu lalu akibat pertempuran di kawasan Chong Bok, Ubon Ratchathani.
Menurut jurucakap Tentera Diraja Thailand, perbincangan antara Komander Briged Intervensi Ke-3 Kemboja, Lt Gen Srey Doek, dan Komander Pasukan Suranaree Thailand, Maj Gen Sompop Pharawet, telah mencapai persetujuan bahawa Kemboja akan menarik balik tenteranya ke kedudukan asal seperti yang dipersetujui dalam perjanjian tahun 2024.
Kemboja juga bersetuju untuk menghapuskan parit pertahanan yang didakwa menceroboh sejauh 200 meter ke dalam wilayah Thailand, sebagai langkah untuk mengurangkan ketegangan dan membina kerjasama antara kedua-dua negara.Ketegangan antara Thailand dan Kemboja telah meningkat sejak 28 Mei, apabila berlaku pertempuran yang mengakibatkan seorang anggota tentera Kemboja terbunuh.
Kedua-dua negara telah memperkukuhkan kehadiran tentera di kawasan sempadan, menyebabkan kebimbangan terhadap kemungkinan konflik berskala lebih besar.
Thailand sebelum ini telah mengambil langkah drastik dengan menutup beberapa pintu sempadan dan mengurangkan waktu operasi di 10 pusat pemeriksaan utama, termasuk di Sa Kaeo, bagi menekan Kemboja supaya berundur.
Sebagai sebahagian daripada usaha diplomatik, Thailand dan Kemboja telah bersetuju untuk menggunakan mekanisme jawatankuasa sempadan tempatan bagi membincangkan pengurusan kawasan pertikaian secara berterusan.
Mesyuarat mingguan akan diadakan bagi memastikan kestabilan dan mengelakkan konflik berulang.
Kemboja juga telah mencadangkan agar pertikaian ini dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk penyelesaian jangka panjang, namun Thailand menolak cadangan tersebut dan menegaskan bahawa isu sempadan harus diselesaikan melalui rundingan dua hala.
Dengan persetujuan ini, masyarakat antarabangsa berharap ketegangan antara kedua-dua negara dapat dikurangkan dan kestabilan di kawasan sempadan dapat dikekalkan
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami