Dua anggota tentera Thailand ditembak mati dan mayat mereka dibakar dalam satu insiden yang dipercayai dilakukan oleh anggota militan di daerah Ruso, Narathiwat, menurut laporan polis.

Kejadian tersebut berlaku menjelang waktu tengah hari Khamis, iaitu pada hari terakhir umat Islam menjalankan ibadah puasa.

"Kira-kira sembilan lelaki bersenjata yang menaiki lori mengekori trak yang dinaiki mangsa sebelum satu tembakan serta-merta membunuh pemandunya,” kata Ketua Polis Daerah Rueangsak Buadaeng.

Apabila kenderaan mangsa yang hilang kawalan itu merempuh gerai di pinggir jalan, anggota tentera kedua juga telah ditembak mati, sebelum kedua-dua mayat itu kemudiannya dibakar.

Tiada tangkapan dibuat setakat ini kerana pihak polis masih menjalankan siasatan.

Lebih daripada 6,300 orang telah terkorban di selatan Thailand sejak 2004 dalam konflik yang lazimnya diabaikan oleh kerajaan, apatah lagi di peringkat antarabangsa.

Puak pemberontak dikatakan menuntut hak autonomi bagi tiga wilayah yang majoriti dihuni oleh orang Islam.

Rueangsak berkata, tiga sepanduk protes telah dijumpai di daerah Ruso yang tertera mesej ‘penjajah tidak berhati perut dan selalu berbohong kepada komuniti antarabangsa’.

Thailand yang majoriti rakyatnya beragama Buddha telah meminggirkan wilayah selatan Thailand sejak lebih 100 tahun lalu. Mereka juga didakwa sering memberi tekanan kepada budaya tempatan melalui skim asimilasi yang kadang-kadang dipaksa.

Majoriti kes kematian yang dilakukan penyerang yang tidak dikenal pasti itu melibatkan orang awam daripada kedua-dua kelompok penganut iaitu Buddha dan Islam.