Skip to main content

Dunia

Tentera Thailand putus kaki terpijak periuk api di sempadan Kemboja

Urgent! A few moments ago (27 February 2569), an incident occurred in Deshak Trikham, the 233rd Infantry Regiment, the 23rd Infantry Division (23rd Regiment 3rd Infantry Division) at Veerawat Yothin Camp of the Army, stepped on a bomb inside the Erawan operation base, Phanom Dongrak, Surin. It resulted in the torn right leg and the left arm. The left leg was exploded. Serious condition. The unit was given first aid and was taken to Kap Choeng Hospital.  Facebook Army Military Force
Mangsa turut mengalami kecederaan akibat serpihan letupan pada lengan dan kaki kirinya. -Foto Facebook Army Military Force

BANGKOK: Seorang anggota tentera Thailand kehilangan kaki kanannya selepas terpijak periuk api dalam satu kejadian letupan di kawasan sempadan yang dipertikaikan dengan Kemboja pada pagi Jumaat.

Menurut kenyataan tentera Thailand, insiden tersebut berlaku sekitar waktu subuh di wilayah sempadan Surin ketika mangsa, yang dikenal pasti sebagai Prebet Detchsak Treekham, sedang menjalankan tugas rondaan rutin bersama rakan setugasnya.

Advertisement

"Seorang anggota tentera cedera parah dan kehilangan kaki kanannya akibat terpijak periuk api," jelas pihak tentera dalam satu kenyataan hari ini.

Mangsa turut mengalami kecederaan akibat serpihan letupan pada lengan dan kaki kirinya.

Prebet Detchsak segera diberikan rawatan kecemasan di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke Hospital Kabcheang untuk rawatan lanjut.

Walau bagaimanapun, siasatan awal oleh pihak tentera Thailand menunjukkan bahawa periuk api berkenaan dipercayai merupakan peranti lama yang tertanam jauh di dalam tanah dan tidak menunjukkan tanda-tanda baru ditanam.

Kejadian ini berlaku di tengah-tengah tempoh gencatan senjata yang masih rapuh selepas berbulan-bulan tercetusnya pertempuran rentas sempadan antara kedua-dua negara jiran tersebut.

Sejak musim panas 2025, puluhan nyawa dilaporkan terkorban akibat konflik berhubung persempadanan yang telah berlarutan selama lebih satu abad.

Gencatan senjata sementara mula berkuat kuasa sejak Disember lalu selepas pertempuran sengit pada Julai dan Disember 2025 memaksa lebih sejuta orang awam berpindah di sepanjang garisan sempadan sejauh 800 kilometer itu.

Di bawah perjanjian tersebut, Thailand dan Kemboja berjanji untuk menghentikan tembakan, membekukan pergerakan tentera, serta bekerjasama dalam usaha pembersihan periuk api di sepanjang sempadan. 

Must Watch Video