Skip to main content

Dunia

Tentera Yaman dakwa lebih 35 pejuang Houthi terbunuh atau cedera di Taiz

Seorang pejuang Houthi yang disokong Iran melepaskan tembakan dari sebuah kenderaan di wilayah al-Jawf, Yemen, pada 15 Sept 2026. - Gambar Media Ketenteraan Houthi/Reuters
Seorang pejuang Houthi yang disokong Iran melepaskan tembakan dari sebuah kenderaan di wilayah al-Jawf, Yemen, pada 15 Sept 2026. - Gambar Media Ketenteraan Houthi/Reuters

Advertisement

YAMAN/ ISTANBUL: Tentera Yaman mengesahkan lebih 35 pejuang Kumpulan Houthi terbunuh atau cedera dalam satu operasi ketenteraan yang menyasarkan kedudukan kumpulan itu di Wilayah Taiz, barat daya negara berkenaan, pada Jumaat, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam satu kenyataan, Briged Berperisai Ke-35 Tentera Yaman menjelaskan bahawa pasukannya melancarkan “operasi pantas dan bersasar” terhadap kedudukan serta kubu pertahanan Houthi di sepanjang barisan hadapan Aqrouz, di Daerah Al-Misrakh.

Menurut kenyataan itu, operasi berkenaan menyasarkan kedudukan di Jabal Al-Manara, Kour, Wadi Kour, Al-Maqda, Al-Dabaya dan Kahlan, mengakibatkan “lebih 35 pejuang Houthi terbunuh atau cedera”.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak memperincikan jumlah yang terbunuh dan cedera.

Operasi berkenaan turut melumpuhkan sebuah kenderaan tentera yang dilengkapi senjata serta memusnahkan kubu pertahanan Houthi di lokasi yang disasarkan, menurut kenyataan itu.

Pihak Houthi belum memberikan sebarang ulasan berhubung laporan tentera Yaman itu setakat ini.

Wilayah Taiz menyaksikan pertempuran sengit antara Tentera Yaman dengan Kumpulan Houthi sejak beberapa minggu lepas, yang mengakibatkan ratusan anggota kedua-dua pihak terbunuh dan cedera.

Taiz mempunyai kepentingan strategik sebagai jambatan geografi dan penghubung penting antara wilayah utara Yaman.

Penguasaan wilayah itu bermakna mengawal laluan bekalan serta koridor pengangkutan utama yang menghubungkan Aden, ibu kota sementara negara itu, dengan wilayah tengah dan utara Yaman.

Perkembangan itu merupakan sebahagian daripada peningkatan ketegangan ketenteraan yang bermula pada Julai dan dianggap sebagai yang paling meluas sejak keadaan relatif tenang susulan gencatan senjata yang dimulakan pada April 2022.

Sejak 5 Okt, pasukan Kerajaan Yaman melancarkan Operasi Fajar Yaman. Pengerusi Majlis Kepimpinan Presiden Rashad al-Alimi berkata operasi itu bertujuan mendapatkan semula kawalan institusi negara daripada Kumpulan Houthi serta menawan semula ibu negara, Sanaa.

Yaman dilanda konflik sejak Kumpulan Houthi menawan Sanaa dan beberapa wilayah lain pada 2014, sekali gus mendorong campur tangan pakatan pimpinan Arab Saudi pada Mac 2015 bagi menyokong kerajaan yang diiktiraf masyarakat antarabangsa.

Kumpulan Houthi menguasai sebahagian besar wilayah utara dan barat Yaman manakala pasukan kerajaan bersama sekutunya menguasai Aden serta sebahagian besar wilayah selatan dan timur negara itu.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement