Skip to main content

Dunia

Tentera Yaman dakwa rampas semula bandar pelabuhan strategik Mocha daripada Houthi

Pemandangan udara bandar pelabuhan Mocha di Yaman. - Foto REUTERS
Pemandangan udara bandar pelabuhan Mocha di Yaman. - Foto REUTERS

Advertisement

SANAA: Tentera Yaman yang menyokong kerajaan diiktiraf antarabangsa mendakwa berjaya merampas semula bandar pelabuhan strategik Mocha daripada kumpulan Houthi dalam satu operasi ketenteraan besar di pantai barat negara itu.

Menurut kenyataan tentera pada Isnin, pasukan kerajaan turut menawan beberapa kedudukan penting berhampiran Selat Bab al-Mandeb, laluan perkapalan utama yang menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden.

Tentera berkata pertempuran sengit berlaku di beberapa kawasan sekitar Mocha, mengakibatkan sejumlah pejuang Houthi terbunuh, cedera dan ditawan.

Operasi itu dijalankan ketika kerajaan Yaman melancarkan serangan balas bagi merampas semula wilayah yang ditawan Houthi dalam serangan mereka pada September lalu, termasuk Mocha dan kawasan sekitar Bab al-Mandeb.

Pasukan kerajaan yang disokong Arab Saudi turut mendakwa berjaya menguasai daerah Dhubab di wilayah Taiz serta memutuskan beberapa laluan bekalan menuju ke Bab al-Mandeb.

Bagaimanapun, Houthi menafikan sebahagian dakwaan itu dan mempertikaikan sejauh mana kemaraan tentera kerajaan di kawasan berkenaan.

Mocha, yang terletak di pesisir Laut Merah, mempunyai kepentingan strategik kerana kedudukannya berhampiran Selat Bab al-Mandeb, salah satu laluan perdagangan dan bekalan tenaga terpenting dunia.

Konflik di Yaman kembali memuncak dalam beberapa minggu kebelakangan ini selepas Houthi memperluaskan penguasaan mereka di sepanjang pantai Laut Merah, manakala kerajaan Yaman mengumumkan kempen ketenteraan bagi merampas semula kawasan yang hilang serta meningkatkan tekanan ke atas ibu negara, Sanaa, yang dikuasai Houthi sejak 2014.

 

 

Must Watch Video

Advertisement