[TERKINI] Adinda Raja Charles, Putera Andrew dilucut gelaran, diarah tinggalkan kediaman diraja
![[TERKINI] Adinda Raja Charles, Putera Andrew dilucut gelaran, diarah tinggalkan kediaman diraja [TERKINI] Adinda Raja Charles, Putera Andrew dilucut gelaran, diarah tinggalkan kediaman diraja](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2024-12/51734213823_PrinceAndrewDuke.jpg)
Putera Andrew diarahkan untuk mengosongkan kediamannya di Royal Lodge, Windsor - kediaman mewah yang telah didiaminya sejak sekian lama. - Gambar fail Reuters
LONDON: Raja Britain, Raja Charles III, telah memulakan proses rasmi untuk melucutkan gelaran dan kehormatan diraja adindanya, Putera Andrew, susulan kontroversi berterusan yang mengaitkan beliau dengan pesalah seks, mendiang Jeffrey Epstein.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Buckingham pada Khamis, Raja Charles turut mengarahkan Putera Andrew untuk mengosongkan kediamannya di Royal Lodge, Windsor - kediaman mewah yang telah didiaminya sejak sekian lama.
“Duli Yang Maha Mulia pada hari ini telah memulakan proses rasmi untuk melucutkan Gaya, Gelaran dan Kehormatan Putera Andrew,” menurut kenyataan itu.
“Putera Andrew kini akan dikenali sebagai Andrew Mountbatten-Windsor. Pajakan beliau di Royal Lodge yang sebelum ini memberikan perlindungan undang-undang untuk terus menetap di situ, kini telah ditamatkan secara rasmi dan beliau akan berpindah ke kediaman persendirian lain,” tambah kenyataan itu lagi.
Difahamkan, Andrew akan berpindah ke salah satu hartanah milik peribadi Raja Charles di Estet Sandringham.
Perpindahan itu akan dibiayai oleh Raja Charles sendiri dan dijangka berlaku dalam masa terdekat.
Langkah ini diambil walaupun Putera Andrew terus menafikan semua dakwaan terhadapnya.
Namun, pihak istana berpandangan, terdapat “kesilapan besar dalam pertimbangan” yang dilakukan oleh beliau.
Tindakan ini diambil susulan penerbitan memoir anumerta Virginia Giuffre bertajuk Nobody’s Girl, yang sekali lagi mengaitkan Putera Andrew dengan dakwaan serangan seksual ketika beliau masih remaja.
Putera Andrew sebelum ini menafikan mengenali Giuffre dan menolak semua tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.
Sumber turut memaklumkan bahawa Raja Charles tidak akan menggunakan Parlimen untuk melucutkan gelaran Duke of York secara rasmi, sebaliknya akan mengeluarkan waran diraja bagi membatalkan gelaran Duke of York, Inverness dan Killyleagh yang disandang Andrew.
Kerajaan Britain difahamkan telah dimaklumkan mengenai keputusan ini dan menyatakan sokongan terhadap langkah yang diambil oleh Raja Charles.
“Duli Tuanku ingin menegaskan bahawa baginda dan Permaisuri menzahirkan simpati dan sokongan penuh kepada semua mangsa dan mangsa terselamat daripada sebarang bentuk penderaan,” kata kenyataan Istana Buckingham.
Sebelum ini, Putera Andrew dilaporkan telah menyerahkan beberapa gelaran dirajanya secara sukarela, namun tindakan itu tidak berjaya meredakan kemarahan umum, terutama selepas pendedahan mengenai bayaran penyelesaian berjuta-juta dolar kepada Giuffre pada 2022.
Kemarahan orang ramai turut memuncak apabila laporan media mendedahkan bahawa Andrew hanya membayar 1 juta pound untuk Royal Lodge pada tahun 2003 dan hanya dikenakan sewa tahunan simbolik sejak itu.
Dalam satu insiden pada Isnin lalu, Raja Charles turut diejek oleh seorang penunjuk perasaan ketika menghadiri satu majlis di sebuah katedral di barat laut England, yang menjerit: “Berapa lama anda tahu tentang Andrew dan Epstein?” - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


