[TERKINI] Najib Razak Dilepas Tanpa Dibebaskan – Kes SRC RM27 Juta, Ikuti Laporan di Sini
DUNIA

[TERKINI] Apa yang kita tahu mengenai serangan balas Iran ke atas Israel

Astro Awani 14/06/2025 | 10:12 MYT
Siren amaran diaktifkan di seluruh Israel susulan serangan peluru berpandu Iran, dan rakyat Israel diarahkan untuk berlindung. - Foto Reuters
IRAN pada Jumaat malam (waktu tempatan) mengumumkan bahawa pihaknya telah melancarkan serangan peluru berpandu ke beberapa lokasi di seluruh Israel sebagai tindak balas terhadap serangan Israel ke atas sasaran ketenteraan dan nuklear Iran.
Berikut adalah maklumat yang diketahui setakat ini mengenai serangan balas Tehran:
- Agensi Berita Fars yang dikendalikan oleh Kor Pengawal Revolusi Iran melaporkan bahawa Tehran melancarkan dua gelombang serangan pada Jumaat malam, diikuti dengan gelombang ketiga serangan udara pada awal pagi Sabtu.
- Siren amaran diaktifkan di seluruh Israel susulan serangan peluru berpandu tersebut, dan rakyat Israel diarahkan untuk berlindung.
- Tentera Israel memaklumkan bahawa Iran melancarkan kurang daripada 100 peluru berpandu pada hari Jumaat, dan kebanyakannya berjaya dipintas atau tidak mencapai sasaran.
- Dua pegawai Amerika Syarikat memberitahu agensi berita Reuters bahawa tentera AS turut membantu menembak jatuh peluru berpandu Iran.
- Akhbar Haaretz Israel melaporkan bahawa Iran telah melepaskan lebih daripada 150 peluru berpandu secara keseluruhan.
- Sebuah bangunan pencakar langit di kawasan padat penduduk di tengah Tel Aviv terkena serangan, menyebabkan kerosakan pada satu pertiga bahagian bawah bangunan itu. Sembilan lagi bangunan turut musnah di pinggir Tel Aviv, di kawasan Ramat Gan, menurut laporan Haaretz.
- Bunyi letupan kuat turut didengar di Baitulmaqdis (Jerusalem), menurut laporan Reuters.
- Hospital Ichilov di Tel Aviv telah merawat tujuh mangsa cedera akibat serangan gelombang kedua Iran, dengan enam daripada mereka mengalami kecederaan ringan.
- Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Israel menyatakan anggota mereka tercedera apabila sebuah projektil menghentam sebuah bangunan di bandar itu.
- Perkhidmatan ambulans Israel pula memaklumkan bahawa seramai 34 orang cedera pada Jumaat malam di kawasan Tel Aviv, kebanyakannya cedera ringan.
- Polis Israel mengesahkan seorang wanita maut selepas mengalami kecederaan parah dalam serangan peluru berpandu di Tel Aviv.
Berikut adalah beberapa perkembangan lain berhubung ketegangan Israel - Iran:
- Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat memberi amaran mengenai kesan serius di peringkat serantau dan global susulan tindakan saling berbalas serangan udara antara Israel dan Iran.
- Keadaan di Iran masih terkawal meskipun negara itu diserang tentera rejim Israel malah masyarakatnya dilihat masih meneruskan kehidupan seperti biasa, menurut seorang pelajar Malaysia di Iran.
- Kementerian Luar Negeri (KLN) menasihatkan semua warganegara Malaysia supaya menangguhkan sebarang perjalanan yang tidak penting ke Iran, Iraq dan Jordan susulan ketegangan Iran dan Israel.
- Banyak syarikat penerbangan antarabangsa seperti Emirates, Lufthansa dan United membatal atau mengubah laluan penerbangan, manakala lapangan terbang utama seperti Ben Gurion dan Mehrabad ditutup sementara.
- Kerajaan Iran berpendapat bahawa tiada lagi tujuan untuk meneruskan rundingan nuklear dengan Amerika Syarikat (AS) susulan serangan besar-besaran Israel terhadap kemudahan negara itu.
- Serangan Israel ke atas Iran pada Jumaat dilihat merupakan sebahagian pelan induk rejim Zionis untuk membentuk semula geopolitik Asia Barat baharu yang memihak kepada negara haram Yahudi berkenaan.
#Israel #Iran #Israel serang Iran #serangan balas Iran