KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan takziah kepada rakyat Venezuela susulan kejadian gempa bumi yang melanda bahagian utara negara itu.
Beliau turut menyatakan keyakinan penuh terhadap keberanian dan dedikasi pasukan penyelamat Venezuela yang kini bertungkus-lumus dalam usaha menyelamatkan mangsa dalam tempoh yang amat kritikal.
“Ingatan dan doa saya bersama setiap keluarga yang sedang berkabung, serta mereka yang masih menantikan khabar mengenai insan tersayang yang terperangkap di bawah runtuhan,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan di Facebook rasminya hari ini.
Pada masa sama, Anwar berharap bantuan segera daripada masyarakat antarabangsa dapat meringankan beban mangsa tragedi yang disifatkannya sebagai antara gempa bumi paling kuat melanda Venezuela dalam tempoh lebih satu abad.
“Kami juga percaya bahawa bantuan yang sedang digerakkan oleh masyarakat antarabangsa akan dapat membawa sedikit kelegaan dan harapan kepada mereka yang paling memerlukan,” katanya lagi.
Media melaporkan sekurang-kurangnya 32 penduduk maut manakala lebih 700 lagi cedera selepas dua gempa bumi kuat yang berlaku selang kurang seminit menggegarkan kawasan berhampiran bandar pesisir Morón di negeri Carabobo, pada petang Rabu.
Kejadian itu turut mengakibatkan kemusnahan besar, termasuk keruntuhan bangunan serta kerosakan infrastruktur di ibu negara, Caracas yang terletak kira-kira 160 kilometer di timur Morón, lokasi pusat gempa.
Presiden Interim Venezuela, Delcy Rodríguez berkata, angka korban dijangka terus meningkat berikutan operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan di kawasan yang terjejas teruk, khususnya di wilayah La Guaira yang diisytiharkan sebagai zon bencana.
Beliau berkata, pasukan penyelamat masih berusaha mengesan dan mengeluarkan mangsa yang dipercayai terperangkap di bawah runtuhan bangunan.
Menurut pihak berkuasa Venezuela, gempa pertama berukuran 7.2 magnitud berlaku kira-kira jam 6 petang waktu tempatan sebelum disusuli gempa kedua yang lebih kuat, berukuran 7.5 magnitud kurang seminit kemudian.