Skip to main content

Dunia

Ketua Parti Demokrat Sosial dicalonkan PM Lithuania

Mindaugas Sinkevičius
Mindaugas Sinkevicius. - Foto Facebook
Advertisement

RIGA: Presiden Lithuania Gitanas Nauseda pada Khamis mencalonkan Mindaugas Sinkevicius sebagai perdana menteri serta menugaskannya untuk membentuk kerajaan baharu susulan rombakan dalam gabungan parti pemerintah, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Parlimen perlu meluluskan pencalonan Sinkevicius, yang merupakan ketua Parti Demokrat Sosial. Beliau kemudiannya boleh memilih barisan Kabinetnya yang turut tertakluk kepada satu lagi undian di Parlimen.

Nauseda dan Sinkevicius mengadakan pertemuan pada Rabu malam, dengan kedua-duanya bersetuju mengenai keutamaan utama kerajaan baharu itu, menurut presiden berkenaan.

"Pertahanan dan keselamatan mesti kekal sebagai keutamaan utama kerajaan ini," kata Nauseda.

Sinkevicius akan menggantikan rakan separtinya Inga Ruginiene dan merancang untuk mengumumkan barisan Kabinetnya minggu depan. Rombakan itu dibuat selepas Parti Demokrat Sosial memutuskan untuk menggantikan sebuah parti dalam gabungan parti pemerintah dan menamatkan kerjasama dengan parti populis Dawn of the Nemunas pada awal bulan ini.

Parti itu membawa masuk Democratic Union for Lithuania, yang sebelum ini merupakan parti pembangkang, menyertai kerajaan. Bersama dua lagi parti dalam gabungan parti pemerintah, kerajaan baharu itu menguasai 75 daripada 141 kerusi Parlimen.

Sinkevicius pernah berkhidmat sebagai Menteri Ekonomi dari 2016 hingga 2017 dan selain itu aktif dalam pentadbiran kerajaan tempatan di Jonava serta kawasan sekitarnya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement