INTERNATIONAL
TERKINI HAJI 2025: Sheikh Dr. Saleh bin Humaid diberi amanah sampaikan khutbah Arafah musim haji 2025

Pelantikan Sheikh Dr. Saleh Abdullah Humaid dilihat sebagai satu pengiktirafan terhadap peranan utama Arab Saudi dalam kepimpinan agama dan tamadun Islam global.
MEKAH: Arab Saudi hari ini mengumumkan Imam dan Khatib Masjidil Haram, Sheikh Dr. Saleh Abdullah Humaid telah menerima perkenan daripada Raja Arab Saudi yang juga Penjaga Dua Kota Suci, Raja Salman Abdulaziz, untuk menyampaikan Khutbah Arafah bagi musim Haji tahun ini, 1446 Hijrah.
Ketua Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Sheikh Dr. Abdulrahman Al-Sudais, merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan yang setinggi-tingginya – bagi pihak dirinya serta para imam, khatib, muazin dan seluruh warga pentadbiran – kepada Raja Salman dan Putera Mahkota, Mohammed bin Salman atas pelantikan Sheikh sebagai khatib Hari Arafah pada tahun ini.
Pelantikan ini dilihat sebagai satu pengiktirafan terhadap peranan utama Arab Saudi dalam kepimpinan agama dan tamadun Islam global, di samping memperlihatkan sokongan berterusan kepimpinan kepada institusi-institusi keagamaan.
Ia juga mencerminkan keprihatinan pimpinan terhadap Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, serta komitmen mengangkat mesej kesederhanaan Islam kepada seluruh umat manusia.
Siapa Sheikh Dr. Saleh bin Abdullah bin Humaid?
Sheikh Dr. Saleh yang diumumkan sebagai Khatib Hari Arafah bagi musim Haji 1446 Hijrah, merupakan antara tokoh ulama tersohor di Arab Saudi.
Berikut 10 fakta penting mengenai beliau:
- Dilahirkan pada tahun 1950 di Buraidah, Qassim, Arab Saudi Beliau menghafaz al-Quran sejak kecil dan menerima pendidikan awal di Buraidah sebelum melanjutkan pelajaran ke Mekah.
- Pendidikan tinggi dalam bidang Syariah Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana dalam Fiqh Islam dari Universiti King Abdul Aziz di Mekah, dan seterusnya Ijazah Kedoktoran (PhD) dari Universiti Umm Al-Qura.
- Pemegang PhD pertama dilantik sebagai Imam Besar Masjidil Haram Pada tahun 1403 Hijrah, beliau menjadi pemegang PhD pertama yang dilantik sebagai Imam dan Khatib tetap di Masjidil Haram.
- Pernah menjadi Presiden Majlis Syura Arab Saudi Sheikh Dr. Saleh dilantik sebagai Pengerusi Majlis Syura pada tahun 1422 Hijrah, salah satu badan legislatif penting di negara itu.
- Pernah mengetuai Majlis Kehakiman Tertinggi Pada tahun 1430 Hijrah, beliau juga dilantik sebagai Pengerusi Majlis Kehakiman Tertinggi, menunjukkan kepakaran beliau dalam bidang perundangan Islam.
- Wakil tetap Arab Saudi ke Majlis Fiqh Islam Antarabangsa Sejak 9 Julai 2007, beliau mewakili Arab Saudi dalam badan tersebut dan telah dilantik sebagai Presidennya pada tahun yang sama.
- Pernah menyandang pelbagai jawatan akademik dan pentadbiran Antara jawatan yang pernah disandang termasuk Pensyarah Fakulti Syariah, Ketua Jabatan Ekonomi Islam, Dekan Fakulti Pengajian Siswazah Syariah di Universiti Umm Al-Qura.
- Penglibatan aktif dalam persidangan antarabangsa Beliau sering dijemput menyampaikan syarahan, menyertai seminar dan persidangan ilmiah di peringkat dalam dan luar negara.
- Penulis prolifik dalam bidang syariah dan dakwah Antara karya beliau yang terkenal termasuk “Mengangkat Kesulitan Menurut Syariah Islam,” “Ijtihad Kolektif dan Kepentingannya dalam Bencana Kontemporari,” dan “Rumah Bahagia dan Perselisihan Suami Isteri.”
- Tokoh ilmuwan yang membawa mesej kesederhanaan Melalui khutbah dan penulisannya, beliau dikenali sebagai pendakwah berwibawa yang mengangkat nilai kesederhanaan dalam Islam.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami