BANGKOK: Kerajaan Thailand secara rasmi membatalkan perjanjian sempadan maritim yang dimeterai pada 2001 dengan Kemboja, dikenali sebagai MoU 44, selepas mendakwa tiada kemajuan dicapai dalam rundingan berkenaan sejak lebih dua dekad lalu.
Keputusan yang diluluskan dalam mesyuarat Kabinet pada Selasa menyaksikan Thailand beralih sepenuhnya kepada rangka kerja Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) bagi menangani pertindihan tuntutan maritim di Teluk Thailand.
Advertisement
Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, berkata pembatalan secara unilateral itu perlu kerana rangka kerja sedia ada gagal memberikan hasil konkrit, malah sering mencetuskan ketidakpercayaan di antara kedua-dua negara jiran.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri serta Kerjasama Antarabangsa Kemboja, Prak Sokhonn, berkata Phnom Penh kesal dengan tindakan berkenaan dan akan memulakan mekanisme perdamaian wajib di bawah UNCLOS bagi melindungi hak kedaulatan maritim negara itu.
Sebelum ini, rundingan di bawah MoU 44 sering tergendala susulan ketidakstabilan politik di Thailand serta bantahan golongan nasionalis Thai yang bimbang kehilangan kedaulatan ke atas kawasan yang kaya dengan sumber asli.
Walaupun perjanjian berkenaan dibatalkan, pihak berkuasa Thailand memberi jaminan bahawa penglibatan diplomatik dengan Kemboja akan diteruskan melalui saluran antarabangsa yang diiktiraf secara meluas.
Pemansuhan MoU 44 itu juga selari dengan janji kempen parti pimpinan Anutin yang mahu pendirian lebih tegas terhadap isu sempadan bagi menjamin kepentingan dan kedaulatan negara.