BANGKOK: Thailand menyampaikan bantuan kemanusiaan bernilai 2 juta baht (100 baht = RM13.37) untuk rakyat Ukraine yang terjejas akibat perang yang berterusan.

Kementerian Luar berkata Palang Merah Thailand memperuntukkan siri keempat bantuan kemanusiaan kepada Persatuan Palang Merah Ukraine bagi memperoleh barangan perlu untuk penduduk Ukraine.

Setiausaha Tetap Hal Ehwal Luar, Sarun Charoensuwan menyampaikan sumbangan itu kepada Penolong Ketua Setiausaha Perhubungan Luar Persatuan Palang Merah Thailand, Dr Apichart Chinwanno. Kuasa Usaha Kedutaan Ukraine Pavlo Orel turut hadir.

Kementerian Luar berkata Thailand menyampaikan bantuan kemanusiaan secara berterusan kepada Ukraine melalui pelbagai saluran, termasuk UNICEF, Persatuan Palang Merah Thailand, dan Persatuan Palang Merah Poland bernilai 22.5 juta baht (AS$ 640,000).

"Thailand kekal komited untuk menyumbang bantuan kemanusiaan kepada mereka yang terjejas," katanya.

-- BERNAMA