KOTA KINABALU: Pemain-pemain yang dipilih menyertai Astro Kem Badminton edisi 2024 akan menyertai sesi latihan intensif bersama jurulatih dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Menurut Ketua Jurulatih Astro Kem Badminton 2024, Lee Wan Wah latihan intensif selama lima hari itu merupakan peluang terbaik untuk pemain merasai pengalaman berlatih seperti untuk mewakili negara.

Wan Wah menjelaskan pemain-pemain yang dipilih akan menjalani latihan intensif itu di Akademi Badminton Malaysia (ABM)

"Tahun ini kita akan mempunyai satu latihan kem khas daripada BAM di mana pemain-pemain yang dipilih akan menjalani latihan intensif selama lima hari.

"Sesi latihan tersebut akan diadakan di ABM dan dikendalikan oleh jurulatih-jurulatih dari BAM.

"Ia merupakan satu pengalaman dan peluang yang baik kepada pemain-pemain kerana mereka akan merasai bagaimana berlatih dalam pasukan kebangsaan," katanya.

Sabah menjadi pilihan sebagai lokasi pembuka tirai Astro Kem Badminton edisi 2024.

Negeri yang turut akan dikunjungi skuad AKB adalah Pulau Pinang, Johor, Kelantan, dan Selangor.

Ibu bapa boleh daftarkan anak-anak yang berusia 10 hingga 12 tahun secara percuma melalui web rasmi www.astro.com.my/rancangan/kem-badminton atau boleh juga walk-in pada tarikh yang ditetapkan di lokasi berdekatan anda.