BANGKOK: Thailand mengecualikan keperluan visa secara kekal bagi warganegara China bermula 1 Mac, kata Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin pada Selasa, lapor Xinhua.

Srettha berkata bahawa Thailand sebelum ini memberi status pengecualian visa sementara untuk pengunjung dari China sehingga 29 Feb 2024.

Selepas rundingan dengan pihak berkuasa China, kerajaan Thailand kini menerima pakai dasar pengecualian visa secara kekal bagi warga China bermula Mac, lapor Xinhua.

Beliau berkata langkah ini bukan sahaja akan meningkatkan industri pelancongan Thailand tetapi juga menandakan peningkatan hubungan persahabatan antara kedua-dua negara.

Sektor pelancongan memainkan peranan penting dalam ekonomi Thailand, dengan merekodkan 28 juta ketibaan pelancong asing pada 2023 termasuk kira-kira 4.4 juta pengunjung dari Malaysia dan 3.4 juta dari China.

-- BERNAMA