DUNIA
Thailand keluar amaran Ribut Tropika Kajiki

Ombak dijangka mencapai ketinggian dua hingga tiga meter, dan melebihi tiga meter di kawasan mengalami ribut petir. - Gambar REUTERS/Minh Nguyen
BANGKOK: Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand (DDPM) mengeluarkan amaran bagi kawasan berisiko di 58 wilayah di seluruh negara susulan Ribut Tropika Kajiki yang dijangka melanda dari 24 hingga 27 Ogos 2025.
Timbalan Jurucakap Kerajaan Sasikan Watthanachan berkata ribut itu berpotensi mencetuskan kejadian banjir kilat, aliran lumpur, banjir besar dan tanah runtuh di banyak kawasan, selain ombak kuat di Laut Andaman utara dan Teluk Thailand.
Ombak dijangka mencapai ketinggian dua hingga tiga meter, dan melebihi tiga meter di kawasan mengalami ribut petir.
Beliau berkata Pusat Operasi Pencegahan dan Mitigasi Bencana Pusat (CDDPMC) mengarahkan semua gabenor wilayah supaya mematuhi arahan Menteri dan Timbalan Menteri Dalam Negeri termasuk menjalankan pemantauan cuaca 24 jam serta mengeluarkan amaran awal kepada orang ramai di kawasan berisiko."Langkah ini bertujuan memperkukuh koordinasi di semua peringkat dalam usaha pencegahan dan mitigasi bencana," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman sesawang rasmi Kerajaan Thailand pada Isnin.
Sasikan berkata ombak kuat dijangka melanda wilayah pesisir pantai seperti Chon Buri, Rayong, Chanthaburi, Trat, Ranong dan Phang Nga, khususnya di kawasan tepi pantai, pulau-pulau serta destinasi pelancongan utama.
"Bagi penduduk di kawasan berisiko, sila ikuti kemas kini cuaca dan amaran daripada Jabatan Meteorologi dan DDPM.
"Kerajaan menegaskan komitmen untuk sentiasa bersama rakyat dalam setiap situasi demi memastikan keselamatan mereka," katanya.
Beliau turut menggalakkan orang ramai memuat turun aplikasi "THAI DISASTER ALERT," melaporkan kecemasan melalui akaun Line "DDPM 1784 Notification" (Line ID: @1784DDPM), atau menghubungi Talian Kecemasan 1784 yang beroperasi 24 jam sehari.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami