Skip to main content

Dunia

Piala Dunia 2026: Justin Bieber antara penghibur utama persembahan separuh masa final

Justin Bieber_IG lilbieber.
Justin Bieber bakal menjadi antara tumpuan utama final Piala Dunia FIFA 2026 apabila disahkan menyertai persembahan separuh masa yang julung kali diperkenalkan dalam sejarah kejohanan itu. - Gambar fail
Advertisement

NEW YORK: Penyanyi ternama antarabangsa, Justin Bieber bakal menjadi antara tumpuan utama final Piala Dunia FIFA 2026 apabila disahkan menyertai persembahan separuh masa yang julung kali diperkenalkan dalam sejarah kejohanan itu.

Bieber akan bergandingan dengan beberapa nama besar industri muzik dunia termasuk Madonna, Shakira, BTS, Burna Boy dan Gustavo Dudamel dalam persembahan yang dijadual berlangsung pada 19 Julai di Stadium MetLife, New Jersey.

Persembahan berdurasi 11 minit itu bakal dikendalikan oleh vokalis Coldplay, Chris Martin, sekali gus menandakan era baharu bagi pentas final Piala Dunia yang selama ini tidak pernah menampilkan acara hiburan semasa waktu rehat.

Pengumuman barisan artis tersebut turut meredakan kebimbangan sebelum ini berhubung kemungkinan tempoh rehat perlawanan dilanjutkan secara ketara bagi memberi laluan kepada persembahan berkenaan.

Mengikut undang-undang permainan bola sepak antarabangsa, tempoh rehat separuh masa ditetapkan tidak melebihi 15 minit. 

Namun, spekulasi sebelum ini mendakwa persembahan itu boleh menyebabkan rehat perlawanan mencecah sehingga 25 minit, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kesannya terhadap prestasi pemain.

Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino sebelum ini menyifatkan acara berkenaan sebagai "pentas terbesar yang pernah ada", dengan bilion penonton di seluruh dunia dijangka mengikuti siaran final kejohanan tersebut.

Selain persembahan muzik, acara itu turut menampilkan watak-watak popular daripada francais Sesame Street dan The Muppets sebagai sebahagian daripada inisiatif Dana Pendidikan Global Citizen FIFA yang menyasarkan kutipan sebanyak AS$100 juta (kira-kira RM407 juta) bagi memperluas akses pendidikan kepada kanak-kanak di seluruh dunia.

Bieber berkata, beliau berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada acara bersejarah itu, lebih-lebih lagi kerana ia membawa mesej kemanusiaan yang signifikan.

“Piala Dunia menyatukan dunia dengan cara yang tidak dapat dilakukan oleh perkara lain.

“Saya amat bersyukur menjadi sebahagian daripada persembahan ini dan lebih bermakna apabila mengetahui ia membantu membuka lebih banyak peluang pendidikan kepada kanak-kanak di seluruh dunia,” katanya.

Turut membuat penampilan khas ialah kumpulan koir pelajar sekolah rendah awam New York, PS22 Chorus, yang akan bergabung bersama Coldplay dalam persembahan berkenaan.

Pengasas bersama Global Citizen, Hugh Evans, menyifatkan acara itu sebagai perhimpunan terbesar artis dunia yang disatukan atas satu matlamat sejak konsert amal Live Aid pada 1985.

Dengan tempoh 11 minit, persembahan separuh masa final Piala Dunia 2026 akan berlangsung sedikit lebih singkat berbanding persembahan Super Bowl yang lazimnya berdurasi antara 13 hingga 14 minit.

Percubaan awal konsep sama pernah diperkenalkan ketika final Piala Dunia Kelab FIFA tahun lalu di venue yang sama, namun menerima kritikan apabila tempoh rehat melebihi 24 minit dan dikhuatiri mengganggu rentak permainan pemain. 

Final Piala Dunia 2026 kini dijangka bukan sahaja menjadi kemuncak pertandingan bola sepak paling berprestij dunia, malah sebuah acara hiburan global yang menggabungkan sukan, muzik dan usaha kemanusiaan di atas satu pentas. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement