Skip to main content

Dunia

Piala Dunia 2026: Bangga tetapi terluka, pengakhiran pahit Mesir di pentas dunia

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - Round of 16 - Argentina v Egypt - Atlanta Stadium, Atlanta, Georgia, U.S. - July 7, 2026 Egypt coach Hossam Hassan is shown a yellow card by referee Francois Letexier REUTERS/Paul Childs TPX IMAGES OF THE DAY
Pengadil Francois Letexier melayangkan kad kuning kepada jurulatih Mesir, Hossam Hassan, ketika aksi pusingan 16 terbaik menentang Argentina. - Gambar Reuters
Advertisement

ATLANTA, AMERIKA SYARIKAT: Impian Mesir untuk melangkah lebih jauh di Piala Dunia berakhir dengan penuh kekecewaan apabila mereka tewas 3-2 kepada Argentina dalam aksi pusingan 16 terbaik, namun, tetap meninggalkan kejohanan dengan pencapaian yang dianggap bersejarah buat bola sepak negara itu.

Skuad kendalian Hossam Hassan menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap beberapa keputusan pengadil yang dianggap mempengaruhi keputusan perlawanan, termasuk gol Mostafa Zico pada minit ke-62 yang dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Gol berkenaan dinafikan susulan insiden melibatkan Marwan Attia dan pertahanan Argentina, Lisandro Martinez, dalam gerakan yang membawa kepada jaringan tersebut.

Mesir turut merasakan mereka sepatutnya dihadiahkan sepakan penalti pada penghujung permainan selepas Mohamed Salah didakwa dikasari di dalam kotak penalti, namun rayuan itu tidak dilayan pengadil.

Apa yang lebih mengecewakan buat pasukan Afrika Utara itu ialah Argentina berjaya menjaringkan gol kemenangan beberapa ketika selepas insiden berkenaan.

Dalam kenyataan rasmi pada Rabu, Persatuan Bola Sepak Mesir (EFA) menyifatkan beberapa keputusan penting sepanjang perlawanan menimbulkan persoalan mengenai konsistensi dan keadilan pengadilan.

“Beberapa insiden utama menimbulkan kebimbangan serius dan mencetuskan persoalan mendalam mengenai konsistensi serta keadilan keputusan yang secara langsung mempengaruhi perjalanan perlawanan,” menurut EFA.

Bagaimanapun, Mesir juga perlu menyalahkan diri sendiri selepas gagal mempertahankan kelebihan dua gol ketika perlawanan berbaki hanya 11 minit.

Ketika mendahului 2-0, mereka memilih untuk berkampung di kawasan sendiri dan memberi lebih banyak ruang kepada Argentina untuk melancarkan serangan.

Kesilapan itu membuka peluang kepada juara dunia berkenaan untuk bangkit, sebelum Lautaro Martinez melakukan hantaran lintang yang disempurnakan Enzo Fernandez menerusi tandukan tepat bagi melengkapkan kebangkitan luar biasa Argentina.

Sepanjang kejohanan, Mesir menerima pujian kerana disiplin taktikal mereka, khususnya dalam mengawal ancaman Lionel Messi sambil memanfaatkan kelincahan Mohamed Salah dan Omar Marmoush dalam serangan balas.

Namun, menentang Argentina, Hassan mengambil pendekatan berbeza dengan mengetepikan Marmoush dan memilih corak permainan lebih terbuka.

Walaupun Messi berjaya dikekang sepanjang sebahagian besar perlawanan, tekanan berterusan Argentina akhirnya memecah benteng pertahanan Mesir.

Satu lagi detik penting yang mungkin menjadi titik perubahan ialah kecederaan pemain tengah Emam Ashour pada babak pertama. 

Pemain itu dipercayai mengalami kecederaan pangkal paha sebelum terpaksa dikeluarkan pada waktu rehat.

Di sebalik kekecewaan tersingkir, Mesir masih boleh berbangga dengan pencapaian mereka pada edisi kali ini.

Mereka bukan sahaja mencatat kemenangan pertama dalam sejarah penyertaan di pentas Piala Dunia selepas empat penampilan, malah berjaya melepasi saingan peringkat kumpulan buat kali pertama sebelum mara sehingga pusingan 16 terbaik.

“Walaupun keputusan ini kini menjadi sebahagian daripada sejarah, rasa bangga kami terhadap pasukan ini tidak pernah berubah.

“Keberanian, komitmen dan semangat juang yang dipamerkan sepanjang kejohanan telah meraih penghormatan ramai serta mencerminkan nilai sebenar bola sepak Mesir,” kata EFA.

Meskipun kempen Piala Dunia mereka berakhir lebih awal daripada yang diharapkan, skuad Mesir pulang dengan reputasi yang semakin meningkat serta keyakinan bahawa mereka mampu terus mencabar kuasa-kuasa besar bola sepak dunia pada masa depan. - Agensi

Topic Berkaitan

Must Watch Video

Advertisement