BANGKOK: Thailand mula melonggarkan beberapa sekatan COVID-19 di Bangkok dan 28 wilayah berisiko tinggi bermula hari ini berikutan jumlah kes baharu terus mencatatkan penurunan.

Dalam tempoh 24 jam, Thailand mencatat 14,802 kes baharu COVID-19 dan 252 kematian, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,219,531 dan 11,841 korban setakat ini.

Semalam juga menandakan hari ke-11 berturut-turut jumlah kes baharu di bawah angka 20,000.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata Kementerian Kesihatan Awam akan meningkatkan usaha agar mereka yang berusia 50 tahun ke atas diberi vaksin.

"Kadar kematian COVID-19 di Thailand meningkat kepada 0.97 peratus. Data menunjukkan pesakit berusia 50 tahun ke atas menyumbang sekitar 80 peratus kematian COVID-19 di negara ini. Kumpulan berusia lebih 60 tahun pula, mewakili 66 peratus kematian baharu," katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini semalam.

Bermula semalam (1 Sept), pusat beli-belah, taman awam, salun rambut dan kedai gunting rambut (hanya untuk potongan rambut), ruang urut kaki di Bangkok dan 28 kawasan "zon merah gelap" dibuka semula.

Perhimpunan awam yang melibatkan maksimum 25 orang turut dibenarkan.

Bagaimanapun, tempat hiburan, spa, teater filem, pusat kecergasan masih ditutup.

Perintah berkurung waktu malam selama tujuh jam masih diteruskan buat masa ini.

-- BERNAMA